Masih terngiang-ngiang kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamed mengenai ketajaman minda dan kelancaran pertuturannya yang masih jelas, meskipun sudah berusia 98 tahun. Amalan membaca dan mengkaji menjadi rutin negarawan itu untuk mengekalkan daya ingatan dan pertuturan agar tidak luput dimamah usia.
Sejak di awal usia lagi kita sudah dibentuk dengan mengenal huruf dan mengeja, kemudian membaca sebelum melangkah ke fasa menghafal. Semua itu bagi menguatkan minda dan daya percakapan agar lancar dan mampu berkomunikasi dengan jelas serta difahami.
Namun, ada golongan warga emas yang melepasi usia 70 tahun, sudah mula melalui fasa kurang daya ingatan, kelancaran pertuturan serta hilang fungsi pemahaman jika tidak dilazimi dengan amalan membaca. Kekuatan minda kita diintegrasi dengan pertuturan melalui ketajaman mata dalam memahami serta menjelaskan maksud butiran ayat.
Hakikat itu perlu difahami generasi muda mengenai keperluan amalan membaca agar tidak dianggap ‘cacat’ dalam mengadaptasi situasi sekeliling. Apatah lagi sebagai pelajar, budaya membaca perlu diterapkan dalam diri agar menjadi rutin harian meskipun sekadar memahami ayat selembar kertas.
Jika tidak diterapkan sebagai budaya, tidak mustahil ada yang belum sampai pertengahan umur sudah hilang daya ingatan dan pertuturan. Gunakan masa senggang untuk menelaah pelajaran atau mengambil tahu situasi yang berlaku di sekeliling untuk difahami serta mempertajamkan akal fikiran dengan maklumat yang sahih.
GEDUNG ILMU UNTUK MASA DEPAN
Persiapkan diri bukan sahaja untuk ke alam pekerjaan, sebaliknya, bekalan masa depan agar terlihat berakal dan berilmu meskipun sudah berusia emas. Di usia muda inilah perlu diasuh membiasakan diri dengan bahan bacaan, apatah lagi dengan kecanggihan teknologi kini menjadikan jaringan akses kepada bahan bacaan sangat mudah.
Bagi yang bersifat tradisional dalam memilih bahan berbentuk fizikal, perpustakaan adalah tempat untuk menggali pengetahuan yang dianggap gedung pelbagai ilmu. Malah, di setiap institusi pengajian, perpustakaan dianggap permata buat semua pencari ilmu dan lokasi mengkaji persoalan yang terbuku dihati.
Begitu juga di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, perpustakaan adalah rimba ilmu kepada pelajar untuk meneroka segenap inci pemahaman, bukan sahaja bidang pengajian, tetapi, melangkaui luar kotak akal pemikiran yang pragmatik.
Direka untuk keselesaan pelajar dengan suasana santai dikelilingi bahan bacaan yang tersusun rapi, membangkitkan mood kepada pelajar untuk bersendirian mahupun berkumpulan dalam mengkaji dan meneroka segenap inci ruang pembelajaran.
MANFAAT MASA MUDA SEIRING TEKNOLOGI
Sudah menjadi keperluan masa kini dengan adanya kecanggihan teknologi memudahkan lagi sistem pembelajaran. Bahkan, dengan adanya aplikasi seperti ChatGPT menyenangkan lagi pelajar mencari dan memahami persoalan yang bermain di minda.
Namun, terlalu bergantung kepada kemodenan alam maya juga mampu memberi impak sebaliknya kepada sistem dalaman diri. Oleh itu, berpada-pada dalam menjadikan peranti sebagai teman, sebaiknya, banyakkan bahan fizikal sebagai rujukan agar tidak dianggap terlalu ke depan sehingga mengabaikan keperluan tradisi dalam pembelajaran.
Apapun, banyakkan membaca dan mengkaji bagi memberikan kekuatan kepada minda, di samping menambah ilmu pengetahuan serta meningkatkan keupayaan diri dalam mendalami ilmu. Malah, dengan kelebihan ilmu yang dimiliki mampu menjadi kekuatan kepada diri untuk berdepan sebarang situasi dengan yakin.
留言