top of page

Hari Kesedaran Pencegahan Mencederakan Diri (Self-Injury Awareness Day)


TANGGAL 1 MAC setiap tahun merupakan Hari Kesedaran Mencederakan Diri Sendiri atau lebih dikenali sebagai Self-Injury Awareness Day. Kempen kesedaran global ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran berkenaan bahaya mencederakan diri sendiri. Mencederakan diri sendiri boleh didefinisikan sebagai seseorang yang secara sengaja bertindak mencederakan anggota badan bagi mengurangkan kesakitan emosi atau untuk mengatasi perasaan yang tidak dapat dikawal.


Kenapa Seseorang Memilih Untuk Mencederakan Diri Sendiri?

Antara perkara yang dilakukan untuk mencederakan diri adalah seperti memukul diri, mengelar mana-mana bahagian anggota badan menggunakan benda tajam, mencakar diri, menumbuk dinding atau objek keras, menarik rambut sendiri dan meletakkan benda panas di badan. Tindakan mencederakan diri sendiri ini boleh terjadi di semua peringkat usia tidak kira yang muda mahupun yang tua. Penyebab berlakunya self-harm ini sering dikaitkan dengan simptom psikiatri seperti kemurungan dan gangguan keresahan, akan tetapi mereka yang didiagnosis mempunyai gangguan personality adalah berisiko tinggi untuk bertindak mencederakan diri sendiri.

Tekanan hidup yang dihadapi disebabkan oleh rasa tidak dihargai atau diperlekehkan oleh ahli keluarga, masalah di tempat kerja, hubungan percintaan yang toksik atau kehilangan orang tersayang juga boleh mendorong seseorang untuk bertindak agresif sebegini. Mereka percaya dengan melakukan perbuatan yang menyalahi norma kehidupan ini dapat memberi kelegaan kepada emosi daripada tekanan yang dihadapi, membantu melupakan peristiwa negatif atau trauma yang telah berlaku dalam hidup termasuk mendapatkan perhatian dari orang lain.


Langkah-Langkah Pencegahan Mencederakan Diri

Kes mencederakan diri sendiri ini perlu diberikan perhatian oleh semua pihak kerana ia melibatkan kesihatan mental individu. Jika terdapat individu sekeliling yang menghadapi gejala-gejala self-harm ini, semua pihak termasuk ibu bapa, saudara mara, rakan-rakan, masyarakat dan pihak berkuasa bertanggungjawab untuk membantu mereka dari segi sokongan emosi dan fizikal. Bagi individu itu sendiri boleh mempraktikkan perkara berikut untuk mengawal tingkah laku mencederakan diri:

  1. Minta bantuan dengan menceritakan masalah yang dihadapi kepada orang yang dipercayai.

  2. Cuba untuk fokus kepada perkara lain apabila hadir rasa negatif ingin mencederakan diri sendiri.

  3. Menulis jurnal atau diari kehidupan bagi meluahkan perasaan yang disimpan.

  4. Dapatkan perkhidmatan psikiatri dengan segera kerana anda akan diberikan pendedahan lanjut berkenaan rawatan yang sesuai.


Jaga Diri, Sayangi Diri, Kerana Anda Begitu Berharga.

Selamat Menyambut Hari Kesedaran Pencegahan Mencederakan Diri Sendiri!

51 views0 comments

Recent Posts

See All

Commentaires


bottom of page