top of page

[Hear Senior] AKSARA ALAM KAMPUS PUSAT PENDIDIKAN BERTERUSAN UM CYBERJAYA


Menelusuri detik-detik pengakhiran di kampus yang akan meninggalkan kenangan suka duka sebagai pelajar pastinya berbaur rasa sedih dan gembira. Apatah lagi, perpisahan yang mengukir memori bersama rakan-rakan kampus yang melihat jatuh bangun sepanjang perjuangan sehingga ke pengakhiran, bakal ditinggalkan. 


Jika diselami setiap kenangan yang dilakar, pastinya membuahkan bibit-bibit perasaan sayu dan sukar untuk melangkah keluar dek kerana catatan kisah yang digubah sepanjang pengajian. Namun, itulah hakikat yang perlu ditempuh setelah bertahun bergelumang di arena pengajian.   


Lebih menyentuh perasaan apabila terpaksa mengatur langkah meninggalkan kampus yang menyimpan seribu satu kisah peribadi yang tersimpul erat di lubuk sanubari. Ada yang meninggalkan kampus dengan kenangan indah meraih pelbagai kejayaan dan pencapaian, tidak terkecuali yang tersungkur di awal pengajian, namun bangkit membetulkan kesilapan. 



Tidak kurang juga yang mencanting lakaran cinta di kampus yang belum tentu gemilang untuk dibukukan. Setiap orang mempunyai plot penceritaan kampusnya tersendiri, tetapi, sejauh mana perjalanan kisah yang direka di sepanjang pengajian dapat diadaptasikan dengan kehidupan selepas kampus?


Andai ditanya kepada bekas graduan mengenai perasaan apabila melangkah kembali ke gedung ilmu yang memahat sejarah sebagai pelajar, pastinya banyak kisah yang disingkap. Kampus di ibaratkan seperti sebuah naskhah yang menyimpan pelbagai cerita dan apabila digarap menjadi sebuah epilog pasti ramai yang tersenyum simpul. 


RUANG MELAKAR MEMORI 



Rasa itu yang ingin digubah Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya untuk menjadi sebuah kenangan terindah kepada setiap graduannya di kampus baharu di Cyberjaya. Berpusat di tengah kemodenan bandar terancang yang dikelilingi institusi pengajian tinggi dengan kemudahan awam tersedia dalam parameter yang mudah diakses, memberi keselesaan kepada setiap pelajarnya. 

 

Bukan sekadar pelbagai program yang dirangka sejajar dengan matlamat menjadikan Pembelajaran Sepanjang Hayat sebagai pemangkin pendidikan kepada masyarakat, sebaliknya, turut menitikberatkan soal fasiliti kampus moden dengan suasana pembelajaran yang memberangsangkan. 


Tidak cukup dengan aksesibiliti tersedia seperti kelas yang selesa, jaringan internet di foyer, kemudahan kafeteria yang mesra pelajar serta pusat kegiatan pelajar dan perpustakaan yang luas, turut ditambah dengan penyediaan kafe terkini seiring selera generasi yang mementingkan suasana santai dan sofisikated. 


Ruang parkir yang luas dengan sistem keselamatan yang ketat memberi lebih jaminan kepada pelajar untuk berada di kampus. Apatah lagi dengan kemudahan awam dengan akses pengangkutan di hadapan kampus untuk ke sekitar Cyberjaya dan stesen MRT, memberikan lebih pilihan kepada pelajar.


Mungkin kelihatan sama seperti fasiliti yang tersedia di institusi pengajian tinggi lainnya, tetapi, di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya memberi lebih pilihan kepada pelajar untuk memilih mood pembelajaran yang fleksibel mengikut kesesuaian dan keselesaan. Bukan sekadar menamatkan pengajian sebagai graduan, sebaliknya masih mampu untuk meneruskan pengajian dalam mood yang berbeza pada bila-bila masa di mana sahaja bagi menambah pengetahuan. 


SERULING ILMU SEGENAP USIA



Capaian pendidikan di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya tidak terhad kepada lepasan sekolah, sebaliknya, diibaratkan ‘seruling ilmu’ kepada segenap lapisan umur yang merangkumi jajaran bangsa, budaya sehingga menjangkau pasaran antarabangsa. Keberadaan kampus Cyberjaya menjadi pemangkin kepada kelangsungan jenama Universiti Malaya di peringkat global untuk terus utuh sebagai peneraju pendidikan tinggi dan Pembelajaran Sepanjang Hayat di Malaysia. 


Biar usia dilebur waktu, namun ilmu yang digapai penentu hala tuju. Andai sudah dilurutkan ilmu, berusia emas pun mampu mencetuskan revolusi baharu. Disebabkan itu, Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya bukan sekadar institusi awam yang melahirkan generasi berilmu, sebaliknya, menjadi pencetus resolusi pendidikan kepada masyarakat yang dahagakan pembaharuan dalam meningkatkan pengetahuan. 


48 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page