top of page

[Hear Senior] SIGNIFIKASI PEMBELAJARAN BERTERASKAN LITERASI DIGITAL


Pembudayaan pembelajaran berasaskan teknologi bukanlah sesuatu yang asing ketika ini memandangkan kebanyakan institusi pendidikan sudah mula mengadaptasikan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Namun, sejauh mana perkembangan teknologi mampu mengorak kemampuan pelajar agar berkeupayaan untuk diterapkan dalam alam pekerjaan? 


Secara teorinya, pembelajaran berlandaskan pedagogi, hibrid dan e-learning yang semakin diterima dalam sistem pendidikan, sudah merubah corak pembelajaran dengan pembaharuan serta konsep pengajaran yang lebih sistematik dan dinamik. Bagaimanapun, dengan integrasi teknologi dalam pendidikan, muncul fenomena 'teknostres', iaitu istilah yang merangkumi tekanan dan kebimbangan akibat penggunaan teknologi digital. 


Menurut Profesor Madya Dr Siti Hajar Halili, Ketua Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, teknostres menjelma apabila pelajar bergelut dengan tuntutan dan cabaran menyatupadukan teknologi baharu dalam dunia akademik. 


Jelas beliau, bebanan maklumat berlebihan ini akan menyebabkan tekanan untuk menyesuaikan diri dengan ledakan maklumat dan peralatan teknologi baharu. Cabaran ini boleh menghalang keberkesanan dalam aspek pembelajaran dan memberi kesan negatif kepada kesejahteraan pelajar.


“Teknostres dalam pendidikan boleh berpunca daripada pelbagai sumber. Tekanan untuk menyesuaikan diri dengan teknologi yang berkembang pesat, melayari antara muka digital kompleks dan menguruskan beban maklumat adalah tekanan luar biasa.


“Pelajar sering menghadapi kesukaran mengikuti rentak perubahan teknologi yang membawa kepada kurangnya kemahiran dalam penggunaan teknologi dan takut berasa ketinggalan dengan perkembangan pesat teknologi baharu,” katanya.


Tambah beliau, penting untuk mengetahui strategi pengurusan teknostres untuk keberkesanan dalam persekitaran pembelajaran secara keseluruhan, antaranya mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan sihat.


Dr Siti Hajar berkata, penggunaan teknologi itu sendiri boleh dimanfaatkan sebagai alat untuk mengurangkan teknostres, seperti penggunaan platform pendidikan bagi menggalakkan kesihatan mental dan kesejahteraan yang boleh disepadukan ke dalam pengalaman akademik.



Malah, dengan menyesuaikan intervensi yang dapat memperkasakan pelajar supaya celik digital, dapat memupuk budaya kesejahteraan digital dan melaksanakan kaedah penilaian lebih fleksibel.


Mengintegrasikan pengurusan teknostres ke dalam amalan pendidikan bukan hanya menangani kebimbangan pelajar, bahkan ia melengkapkan pelajar dengan kemahiran pembelajaran sepanjang hayat, di samping dapat mengurangkan kesan negatif tekanan teknologi dalam kalangan pelajar dengan menumpukan usaha bagi meningkatkan kadar celik digital, menggalakkan kesedaran dan mewujudkan budaya memahami pendidikan teknologi terkini.


29 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentarios


bottom of page