Bersediakah anda untuk mengharungi dunia luar yang lebih mencabar? Sudahkah mempersiapkan diri untuk bersaing di alam pekerjaan? Apa potensi dan kelebihan diri untuk menyaingi orang lain? Semua persoalan itu perlu dirungkai sebelum melangkah keluar dari alam kampus.
Memahami kemahuan dan kehendak diri adalah sesuatu yang sukar untuk difahami kerana sifat manusia sering berubah-ubah. Namun, membuat ketetapan dan sasaran dalam menjalani kehidupan selepas tamat pengajian, adalah satu kemestian bagi meletakkan diri mampu berdaya saing dan berketerampilan.
Bukan sekadar mencari matlamat dalam hidup, sebaliknya, perlu mentransformasikan diri untuk beralih darip alam kampus kepada alam pekerjaan dan kehidupan. Tiada lagi istilah bergantung harap kepada keluarga dan semua keperluan diri serta susun atur perjalanan hidup perlu diuruskan sendiri.
Kembangkan kelebihan dan keupayaan diri dalam aliran pekerjaan yang dilihat mampu mengorak langkah lebih jauh agar tidak selamanya berada di posisi sama bertahun lamanya. Bina karier yang bukan sekadar dilihat menguntungkan, sebaliknya, mampu mencorakkan profil yang mengagumkan andai berhasrat untuk menukar pekerjaan kelak.
Terdapat elemen yang perlu diambil tahu oleh bakal graduan seperti, mewujudkan kerangka jangka masa panjang dan pendek merangkumi sasaran, perancangan, pencapaian dan matlamat. Ibarat memenuhi keinginan untuk memiliki sesuatu yang diimpikan, begitu juga dengan kehidupan yang berpaksikan kepada plan yang disusun mengikut keperluan berdasarkan kepada usaha dan kesungguhan.
Sesungguhnya, sebaik-baik perancangan adalah daripada Tuhan yang sudah menyusun atur setiap langkah perjalanan kita sejak di dalam kandungan lagi. Usah berputus asa andai apa yang diinginkan tidak terlaksana, sebaliknya terus berusaha untuk menggapai impian yang lebih baik. Berjawatan tinggi belum menjamin masa depan yang lebih cerah, tetapi memulakan kehidupan daripada kepayahan demi membina keyakinan, itu lebih bermakna.
Hargai setiap peluang yang datang dengan mengambilnya dari sudut positif, demi untuk membina suatu perjalanan hidup yang bermanfaat. Tiada kehidupan yang sempurna, tetapi, kesempurnaan itu mampu dikecapi apabila merasai setiap detik dalam mengharungi kehidupan daripada kepayahan sehingga menggapai impian.
Ada orang hanya mampu hidup bersederhana, tetapi bahagia meniti kehidupan dengan keluarga yang dibina. Tidak kurang juga bagi kehidupan yang sedia kala mewah, namun tidak merasai nikmat berada di bawah mencari erti sebuah pengorbanan dan kepayahan untuk membina sebuah kebahagiaan. Jangan pernah bandingkan diri kita dengan orang lain, sebaliknya, bandingkan diri kita sekarang dengan kehidupan lalu.
Sentiasalah bersikap positif terhadap diri sendiri dan jangan memandang remeh dengan setiap tindakan yang diambil. Andai belum rezeki untuk memperoleh pekerjaan, cuba muhasabah diri mencari kekurangan dan kelemahan. Perbaiki apa yang kurang, tingkatkan lebih pengetahuan dalam mencari peluang pekerjaan, meskipun tidak seperti apa yang diimpikan.
Jadikan Pembelajaran Sepanjang Hayat sebagai pemangkin untuk meningkatkan keupayaan dan kelebihan diri, agar dipandang bernilai sebagai aset majikan. Lihat sahaja program yang ditawarkan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya yang merangkumi Diploma Eksekutif dan Sijil Profesional, direka mengikut keperluan pasaran dan bersesuaian untuk dijadikan nilai tambah bagi memperoleh pekerjaan.
Bahkan, jenama Universiti Malaya sendiri sangat signifikan dalam pasaran kerjaya yang diperakui sebagai institusi pengajian tinggi ulung negara. Gedung ilmu yang tersenarai dalam kelompok 20 terbaik di Asia itu sudah melahirkan ramai graduan yang berpotensi dalam sektor pekerjaan sama ada di dalam negara mahupun di luar.
Jadi, usah gusar andai belum memperoleh tawaran pekerjaan, sebaliknya jadikan masa senggang yang ada dimanfaatkan untuk memajukan diri agar mampu bersaing bagi meneroka peluang dalam pasaran. Sentiasalah mempertingkatkan kemahiran dan kompetensi diri supaya dapat mencorakkan akauntabiliti untuk melangkah jauh ke depan.
Comentarios