top of page

[Lifelong Learning] CAPAIAN TEKNOLOGI HUBUNGKAN PSH DENGAN MASYARAKAT

Keterlibatan masyarakat dalam Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) perlu mencakupi jaringan teknologi yang boleh diakses agar keterbukaan orang ramai untuk menjadikan PSH sebagai keperluan dalam kehidupan. Bukan sahaja bagi meningkatkan nilai ilmu dalam diri, sebaliknya, melahirkan rakyat berminda berpendidikan. 


Ini kerana, ramai dalam kalangan rakyat negara ini beranggapan pendidikan yang diperoleh sudah memadai untuk kelangsungan hidup. Namun, keperluan pendidikan bukan sekadar terhenti di peringkat sekolah dan universiti, sebaliknya, sistem kehidupan memerlukan jaringan pendidikan yang berterusan untuk melakukan perubahan dan kesinambungan dalam struktur masyarakat atau komuniti. 



Peri penting dalam membentuk masyarakat berintelektual dan berani membawa perubahan kepada negara, adalah dengan mendidik agar menjadikan PSH sebagai satu keperluan yang tidak akan putus. Komponen yang akan membentuk sahsiah diri individu dalam meningkatkan ilmu pengetahuan, dan mendidik masyarakat untuk sentiasa memperbaharui kemahiran akan menjadikan negara bangsa yang bertamadun. 


KEPERLUAN TEKNOLOGI DALAM PSH

Namun, bagaimana pendekatan yang diguna pakai bagi mendekatkan masyarakat dengan PSH? Tidak cukup dengan hanya menghebahkan mengenai keperluan PSH, tanpa adanya teknologi yang berperanan sebagai pemangkin minat kepada masyarakat. Oleh yang demikian, Profesor Madya Dr Shahrul Mizan Ismail, Dekan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, mengariskan keperluan teknologi dalam PSH. 


“Kalau kita masih menerapkan konsep tradisional yang memerlukan pelajar datang ke kelas, ia membuatkan konsep PSH itu terbatas kerana tidak semua orang boleh mengikuti kelas secara fizikal. Oleh itu, dengan adanya teknologi sekarang seperti platform Zoom dan Google Meet, mempermudahkan pembelajaran dan semua orang yang ingin menimba ilmu, dia tidak berasa berat dengan proses pembelajaran,” katanya. 


Jelas Dr Shahrul Mizan, teknologi mempermudahkan pembelajaran dan dengan adanya kecerdasan buatan (AI) akan membuatkan sistem pembelajaran itu lebih menarik, malah berupaya meningkatkan minat masyarakat untuk terus menjadikan PSH sebagai pemangkin dalam kehidupan peribadi. 



“Kalau kita lihat kepada domain kognitif ‘Taksonomi Bloom’, yang menjadi penunjuk arah kepada semua termasuk pensyarah mahupun guru, mengandungi tiga domain iaitu kognitif, afektif dan deria. Jika dahulu tanpa adanya teknologi AI, pelajar sekadar mendengar, menghafal atau memahami sahaja. Tetapi, dengan adanya teknologi ini, ia menggalakkan pelajar untuk meningkat kepada domain yang lebih tinggi. 


“Kalau sistem pembelajaran dahulu, pelajar menyerap apa yang disampaikan oleh pensyarah atau guru, namun, sekarang apa yang saya lakukan ketika mengajar, saya gunakan ChatGPT untuk pelajar mencari apa yang diperkatakan oleh teknologi sebagai contoh ‘Perundangan Malaysia’, untuk pelajar analisa jawapan yang diberikan sebagai pendedahan kepada mereka agar meningkatkan keupayaan kepada kognitif yang lebih tinggi,” katanya. 


Pendekatan teknologi tidak membataskan hubungan pelajar dengan pensyarah semata-mata, sebaliknya dengan aplikasi teknologi dapat membantu dalam PSH seperti penggunaan ChatGPT, media sosial dan WhatsApp untuk memberikan keseronokan pembelajaran kepada pelajar. 



Apa yang diharapkan Dr Shahrul Mizan, agar pelajar-pelajar di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya mendapat akses teknologi dalam pembelajaran secara mudah. Bahkan, masyarakat di luar yang menginginkan akses pembelajaran tanpa ada halangan dan kekangan, Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya menyediakan platform PSH untuk keselesaan semua. 


19 views0 comments

Comments


bottom of page