top of page

[Lifelong Learning] TERUS PERBAHARUI ILMU JIKA MAHU BERJAYA DALAM HIDUP


Hidup ini jangan terlalu selesa dengan apa yang dimiliki, sebaliknya sentiasalah mencari pembaharuan untuk lebih mematangkan diri. Sesetengah daripada kita merasakan sudah cukup dengan apa yang dimiliki, hakikatnya banyak lagi yang perlu diperbaiki meskipun sisa kehidupan masih berbaki sejengkal waktu. 


Menambah ilmu pengetahuan tidak terbatas di usia muda, sebaliknya perlu diselaras seiring usia agar diri sentiasa mengadaptasi keperluan semasa sejajar dengan perkembangan teknologi. Ilmu tidak terhad kepada pembelajaran di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi, tetapi, perlu ditanam dalam diri menerusi pembelajaran sepanjang hayat (PSH). 



Faktor fleksibiliti dalam konsep PSH menjadi kayu pengukur kepada keperluan ilmu bagi membolehkan individu daripada pelbagai latar belakang dan tahap kehidupan mengakses serta mengambil bahagian dalam pembelajaran sedemikian. Oleh itu, kebolehcapaian untuk mengadaptasi pendidikan dalam kehidupan perlu seiring dengan kemajuan semasa serta boleh dicapai mengikut keperluan.


Signifikasi PSH apabila dapat membangunkan karakter dan pertumbuhan peribadi dengan membentuk asas ketekunan serta disiplin diri untuk sentiasa mengemaskini ilmu pengetahuan. Keyakinan diri menjadi tunjang bagi menggerakkan keupayaan dan kebolehan untuk terus mengimplementasikan asas PSH dalam diri. 


AKSESIBILITI PSH DALAM KEHIDUPAN


Selaras dengan matlamat bagi menyokong konsep PSH dalam kehidupan dan menanam minat masyarakat untuk terus mempraktikkan pembelajaran dalam kehidupan seharian, Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya merangka pelbagai program dan kursus bagi mendekatkan masyarakat dengan PSH. 


Bukan sekadar sepenuh masa, sebaliknya pembelajaran separuh masa dan santai direka bagi memudahkan capaian serta penglibatan masyarakat dalam pendidikan. Tidak terhad dalam pembelajaran di kampus, namun, pendekatan konsep Education on the Go menjadi pemangkin kepada pencari ilmu. 


Mudah, selesa dan praktikal diterapkan dalam konsep pembelajaran yang diketengahkan agar masyarakat sentiasa mengadaptasi pendidikan. Pencerapan teknologi dalam konsep PSH menjadi pemangkin untuk memudahkan masyarakat mendekati ilmu, tanpa perlu bersemuka dengan tenaga pengajar. 



Bahkan, kini akses pembelajaran di mana sahaja pada bila-bila masa boleh dicapai meskipun berada di awan biru. Pendekatan itu yang digunapakai Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya agar masyarakat pelbagai peringkat umur dan latar belakang dapat terus menjadikan PSH sebagai gaya hidup serta sentiasa memperbaharui ilmu mengikut keperluan dan keadaan semasa. 


32 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page