top of page

[Lifelong Learning] IDEOLOGI DAN IDEALISME PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT


Stigma yang sering bermain di minda masyarakat apabila bercerita mengenai menyambung pengajian adalah, keupayaan dan kesanggupan untuk menumpukan perhatian kepada pembelajaran dan kuliah, tatkala usia kian meningkat.


Gambaran sedemikian seakan mematikan hasrat yang membuak-buak untuk meningkatkan taraf pendidikan ke peringkat lebih tinggi. Malah, persaingan dengan generasi muda sudah pasti membuatkan ada dalam kalangan kita kurang selesa dan terasa segan untuk duduk semeja sebagai rakan sekuliah.


Bahkan, ada yang beranggapan generasi ‘vintage’ ini seakan kekok untuk memulakan langkah bergelar pelajar, apatah lagi yang berusia lebih 40-an. Namun, keinginan untuk menggenggam segulung kelulusan tinggi tersemat di hati, tetapi, mengenangkan diri kian meniti usia menyebabkan hasrat itu terpaksa dipateri dalam sanubari.


Kenapa perlu malu dan segan jika masih ada impian? Ketepikan tanggapan negatif, bangkit dengan ideologi untuk memajukan diri meskipun sudah di usia pencen. Mungkin ungkapan, ‘tuntutlah ilmu sampai ke negeri China’ dan ‘timbalah ilmu hingga ke liang lahad’ boleh dijadikan azimat sebagai pembakar semangat untuk terus meningkatkan pengetahuan.


Istilah Pembelajaran Sepanjang Hayat atau ‘Lifelong Learning’ dideklarasikan oleh UNESCO dengan kerjasama Suruhanjaya Kesatuan Eropah pada tahun 1996. Rentetan daripada itu, Malaysia mengambil inisiatif untuk meningkatkan tahap pendidikan rakyat dengan mengatur strategi bagi mencapai modal insan berkualiti, berpengetahuan, dan berkemahiran tinggi untuk menuju status negara maju.


Penarafan negara maju diukur berdasarkan kriteria di mana negara perlu mencapai peratusan pekerja berkemahiran tinggi lebih 50 peratus, tetapi Malaysia hanya mencapai 28 peratus sahaja pekerja berkemahiran tinggi, menurut data Kementerian Sumber Manusia pada 2016.


Justeru, isu pengetahuan dan kemahiran amat penting bagi mempersiapkan pelajar sebelum ke alam pekerjaan, di samping mempertingkatkan tahap kebolehupayaan tenaga kerja sedia ada untuk meletakkan negara setaraf negara maju.


Hal ini kerana, program Pembelajaran Sepanjang Hayat mempunyai matlamat yang jelas untuk memenuhi keperluan masyarakat bagi melahirkan tenaga kerja mahir sekaligus menstabilkan ekonomi negara. Merangkumi kursus pendidikan jangka pendek dan jangka panjang, dimana kursus yang ditawarkan juga bersifat fleksibel iaitu boleh disertai melalui sesi pembelajaran jarak jauh untuk meningkatkan kemahiran pelajar, di samping menarik minat golongan yang bekerja.


Peranan yang dimainkan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya dengan menawarkan program Diploma Eksekutif dan Sijil Profesional, bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam pasaran pekerjaan, disamping meningkatkan taraf ekonomi negara.


Oleh yang demikian, tiada maksud yang menerangkan had umur dalam menuntut ilmu selagi ada keinginan dan kemampuan. Bahkan, Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya merangka program yang fleksibel untuk kesesuaian pelajar bagi meningkatkan pengetahuan dan tahap pendidikan seiring dengan keperluan diri serta pasaran pekerjaan.


31 views0 comments

コメント


bottom of page