Universiti sering digambarkan sebagai institusi untuk golongan muda atau belia melanjutkan pelajaran. Namun, Universiti Malaya mengambil pendekatan mengubah persepsi itu untuk menjadi lokasi pembelajaran berterusan buat semua peringkat usia dalam pelbagai bidang pengajian.
Tidak hanya memfokuskan kepada pengajian akademik, sebaliknya, turut menawarkan pembelajaran menarik yang menerapkan nilai-nilai Islam termasuk program bacaan dan pemahaman tatabahasa Al-Quran yang ditawarkan di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya.
Uniknya, program yang dirangka menepati kehendak individu muslim yang ingin mendalami dan memperbaiki teknik bacaan al-Quran merangkumi tiga peringkat menerusi asas kemahiran al-Quran, penghayatan surah dan Tajwid yang di akhir program akan dianugerahkan sijil.
IMBANGI DUNIAWI DAN UKHRAWI
Persiapan akhirat yang dibentuk Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya ini membantu dari segi melengkapkan diri dengan ilmu al-Quran untuk semua peringkat umur dari usia 15 tahun ke atas.
Program yang diwujudkan di bawah Pengajian Islam itu turut merangkumi bidang Pengajian Syariah dan Usuluddin serta Bahasa Arab yang dijalankan secara separuh masa dan dilakukan pada hujung minggu.
Tidak lengkap kiranya hanya mempunyai kelayakan duniawi tanpa memikirkan bekalan ukrahwi dengan memetik kata-kata ilmuan, ‘usaha penuhkan gelas dengan ilmu kerana tidak mahu kosongkan amal’.
Didik diri agar tidak terus hanyut dibuai hamparan dunia kerana kelak tersisa hanyalah himpunan dosa. Jalani kehidupan berpasakkan agama sebagai benteng tanpa mengabaikan keperluan hakiki yang turut dikira ibadah yang akan diadili.
Comentários