top of page

[#LifelongLearning] Apa Itu Masalah Plagiarisme Dalam Penulisan Ilmiah Mahasiswa?



Menurut takrifan Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), plagiat ialah perbuatan mencedok karya atau tulisan orang lain dan menyiarkan kembali sebagai penulisan sendiri. Mahasiswa tidak dapat lari daripada perkara ini lebih-lebih lagi ketika menyiapkan tugasan. Hal ini bukanlah perkara yang baru dalam bidang penulisan akademik tetapi telah berlaku sejak dahulu lagi.


Punca berlakunya plagiat adalah disebabkan oleh kurang kemahiran penulisan akademik terutamanya dalam kemahiran analisis dan interpretasi data. Berikut kami senaraikan beberapa jenis plagiat yang sering dilakukan oleh mahasiswa.


1. Plagiat perkataan demi perkataan

Ramai mahasiswa tidak mempunyai kemahiran yang baik dalam membuat parafrasa. Parafrasa ialah menulis semula sesuatu pernyataan dalam ungkapan atau ayat sendiri tanpa mengubah maksud. Lazimnya plagiat perkataan demi perkataan ini terjadi apabila mahasiswa melakukan copy and paste secara langsung. Lebih teruknya lagi, tiada kredit penulis asal pada ayat yang diambil. Contoh referensi yang baik adalah seperti berikut.

Sumber: Jurnal Penyelidikan Pendidikan Vol. 39 (2021) Universiti Malaya


2. Plagiat Idea

Plagiat idea lebih senang dilihat dan difahami dalam penulisan kreatif. Hal ini terjadi kerana perkembangan industri kreatif itu sendiri hendaklah seiring dengan trend. Misalnya, idea penulisan kreatif untuk novel hari ini lebih cenderung ke arah kisah percintaan antara dua darjat dengan latar belakang karakter yang hampir sama. Jika dibuat perbandingan idea atau arah penulisan, hampir semua hasil penulisan di pasaran adalah sama. Perbezaan yang terdapat hanyalah pada nama, ciri karakter dan tempat.


3. Plagiat Sumber

Plagiat sumber sering terjadi kerana mahasiswa menganggap bahawa sekiranya mereka telah melakukan parafrasa secara keseluruhan termasuk mengubah perkataan dengan perkataan sama maksud dan mengubah kedudukan frasa (subjek + predikat), mereka tidak lagi perlu memberikan referensi untuk sumber. Anda perlu memberikan kredit pada sumber secara lengkap pada bahagian rujukan untuk megelakkan penulisan anda dikesan plagiat.


Jadi bagaimana untuk mengelakkan daripada terjadinya plagiarisme? Mudah sahaja, anda cuma perlu mengambil perhatian kepada beberapa perkara seperti menyimpan rekod bahan penyelidikan, gunakan teknik parafrasa secara betul, semak dan sunting semula kandungan penulisan serta gunakan pemeriksa plagiarisme yang tersedia seperti Turnitin, Quetext dan Grammarly. Semoga penulisan ini dapat digunakan sebagai panduan dalam penulisan ilmiah nanti. Selamat maju jaya!


Comments


bottom of page