top of page

[#HearSenior] Adakah profil LinkedIn saya meyakinkan?

Updated: Nov 8, 2022



Pengajian tahun akhir semakin hampir ke penghujung. Pastinya ramai bakal graduan yang sudah mula mengemaskini resume untuk dibawa ketika temu duga. Namun sudahkah anda mengemaskini profil LinkedIn anda? Apa itu LinkedIn? Pentingkah untuk mempunyai profil LinkedIn?

LinkedIn ialah rangkaian profesional terbesar dalam platform internet. Tahun ini mencatatkan sebanyak 58 juta syarikat berdaftar menggunakan LinkedIn sebagai media penghubung antara syarikat dan pelanggan disamping digunakan untuk hebahan maklumat mengenai kekosongan jawatan dalam organisasi. Jom semak beberapa perkara yang perlu anda ambil perhatian untuk menarik minat bakal majikan anda.


1. Gambar profil


Perkara pertama yang akan menarik minat ialah gambar profil yang menarik. Maksud menarik disini bukanlah gambar selfie yang bersahaja tetapi gambar profesional. Gambar profil yang baik akan meningkatkan keyakinan bakal majikan untuk menyemak maklumat profil anda. Individu yang mempunyai gambar profil yang menarik berpotensi untuk mendapatkan sehingga 21 kali lebih ramai pelawat profil berbanding individu yang tidak memuatnaik gambar. Berikan tanggapan awal yang baik kepada pelawat profil anda.


2. Tajuk dan ringkasan profil yang menarik


Selalunya fokus pelawat profil tertumpu kepada tajuk dan ringkasan (headline & summary) selepas gambar dan nama. Biasanya, pengguna LinkedIn akan mencantumkan nama jawatan dan jabatan sekaligus. Ini bertujuan untuk menarik minat dan perhatian pelawat. Anda digalakkan untuk menggunakan nama jawatan yang selaras dengan istilah yang sering digunakan pada masa kini. Misalnya, anda boleh menggunakan nama jawatan “Marketing Expert” atau “Marketing Specialist” berbanding nama tradisional “Marketing Executive”. Jadikan pengenalan pertama ini unik dan dapat membangkitkan keinginan orang ramai untuk menegetahui pengalaman dan pencapaian anda dengan lebih lanjut. Untuk bahagian ringkasan profil, isikan butiran di sini seperti anda menjawab soalan “Tell me about yourself” ketika sesi temuduga.


3. Pilihan kemahiran untuk diketengahkan


Tonjolkan kekuatan kemahiran yang anda miliki mengikut keutamaan. Sekiranya kemahiran anda lebih cenderung kepada penulisan, tonjolkan kemahiran penulisan pada turutan yang pertama sekali kemudian barulah senaraikan kemahiran yang lain. Kemahiran ini juga digunakan sebagai kata kunci carian oleh perekrut atau pegawai pengambilan pekerja. Kemahiran anda akan mendapat perhatian ramai dengan perakuan daripada senarai kenalan anda. Lebih banyak perakuan yang anda dapat di setiap kemahiran lebih bagus.


4. Kekuatan meter profil


Perasan atau tidak, ada satu penanda meter pada profil anda yang menunjukkan tahap kesediaan profil anda. Ini bermaksud, semakin tinggi meter tersebut, semakin menarik profil anda. Terdapat beberapa perkara yang anda perlu lengkapkan untuk mencapai setiap tahap. Terdapat 3 tahap status profil iaitu beginner, intermediate dan all-star. Setiap peringkat mempunyai kelebihan seperti golongan intermediate akan mendapatkan lebih banyak cadangan jawatan yang berkaitan dan golongan all-star akan menerima lebih banyak update yang berkaitan sekaligus menerima lebih ramai pengunjung profil.


5. Profil aktif dengan rangkaian kenalan yang mencukupi


Selain melengkapkan profil dan mengemaskini ketersediaan profil, anda juga perlu kekal aktif di LinkedIn. Cara yang paling mudah untuk terus kekal aktif ialah dengan berkongsi dan komen pada post yang dikongsikan oleh kenalan anda. Jika masa tidak mengizinkan, cukup sekadar meninggalkan reaksi sekurang-kurangnya pada 5 post berbeza. Semakin banyak interaksi, semakin luas capaian profil anda, jadi semakin ramai golongan profesional akan mengenali anda.


Tunggu apa lagi, mulakan perjalanan profesional anda di LinkedIn sekarang juga. Jangan lupa untuk berkongsi pautan LinkedIn anda di ruangan komen untuk jaringan kenalan yang lebih ramai. Selamat mencuba dan selamat maju jaya!

23 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentarios


bottom of page