top of page

[#HearSenior] Baju Warna Apa Sesuai Untuk Dipadankan Dengan Jubah Konvokesyen UM?

Updated: Nov 11, 2022



Masa yang dinanti-nantikan oleh graduan Diploma dan Diploma Eksekutif dibawah UMCCed akhirnya telah tiba. Setelah menempuh sesi pengajian yang penuh suka duka, graduan ini akhirnya berjaya menyarung jubah konvokesyen. Pelbagai reaksi dan gelagat sempat kami rakamkan. Ada yang mengejar waktu penerbangan, ada yang berpakat datang dengan kawan-kawan, dan ada juga yang terlupa nombor matriks.



Kami sempat menemubual beberapa graduan mengenai baju warna apa yang akan digayakan pada hari konvokesyen nanti. Maklumlah, hari konvokesyen nanti kan hari bahagia buat semua graduan ini. Mestilah nak pakai baju yang menyerlahkan kecantikan dan ketampanan masing-masing. Tapi baju warna apa yang sesuai untuk dipadankan dengan jubah konvokesyen?


Mungkin ada sesetengah individu berfikir mengapa perlu bersusah payah memilih baju sedangkan graduan akan memakai jubah pada bahagian luar. Tetapi anda perlu tahu pemilihan warna baju untuk digabungkan dengan warna jubah amat penting untuk mengelakkan wajah kelihatan kusam. Kami nasihatkan, ambil sedikt masa untuk bereksperimen dalam mencuba pelbagai ton warna yang sesuai untuk kulit anda.


1. Kulit gelap

Rata-rata golongan yang berkulit gelap tidak yakin untuk mencuba menggayakan warna lain selain warna "selamat" yang sering digayakan seperti hitam. Sebenarnya banyak warna yang boleh digayakan seperti warna khaki, turquoise, hijau atau merah jambu muda. Untuk graduan wanita, pastikan padanan tudung, baju dan solekan anda harmoni. Misalnya, jika anda mengambil keputusan untuk menggunakan baju atau tudung berwarna khaki, padankan dengan solekan berwarna lembut dengan pilihan gincu yang agak menyerlah seperti merah atau merah gelap. Untuk golongan lelaki pula, pastikan rambut dipotong kemas dan janggut dirapikan. Barulah nampak segak untuk majlis konvokesyen.



2. Kulit cerah

Lazimnya, golongan berkulit cerah tampil yakin untuk menggayakan pelbagai warna, Namun, anda masih perlu berhati-hati kerana terdapat beberapa warna agak kurang sesuai untuk anda gayakan. Sebagai contoh, warna neon dan warna pastel. Untuk padanan jubah konvokesyen, anda boleh menggayakan warna keemasan, merah, kuning atau biru. Graduan lelaki boleh menggayakan baju melayu, atau baju tradisi kaum mengikut kesesuaian. Elakkan untuk memakai fabrik yang terlalu tebal kerana anda mungkin dikehendaki untuk beratur telebih dahulu.



3. Kulit sawo matang

Golongan berkulit sawo matang pula digalakkan untuk memakai baju berwarna merah manggis, perak atau ungu. Elakkan baju berwarna hijau zaitun, hijau lumut, coklat atau warna yang agak gelap. Pemilihan warna pastel adalah sangat digalakkan untuk menaikkan seri wajah. Jika anda ingin menggayakan tudung putih, pastikan ton dan fabrik tudung tersebut bersesuaian dengan warna kulit anda.


Selain pemilihan warna baju, pemilihan kasut yang sesuai juga perlu diambil maklum. Pastikan pemilihan baju anda tidak melanggar etika pakaian konvokesyen. Untuk graduan wanita, jika anda memilih untuk memakai kasut tumit tinggi, pastikan ketinggian tumit dan tapak kasut mengikut keselesaan anda. Perkara paling penting sekali untuk dibawa masuk Dewan Tuanku Canselor nanti ialah e-card anda. Tak ada e-card, macam mana nak imbas nama nanti? Selamat bergraduasi dan selamat maju jaya!

141 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page