Cyberjaya, 21 November 2023 – TEKUN Nasional dan Universiti Malaya menerusi Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, menandatangi memorandum persefahaman (MoU) bagi membina perkongsian strategik untuk meneroka peluang bagi meningkatkan pendidikan dan latihan kakitangan TEKUN Nasional.
Profesor Dr. Yatimah Alias, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya, berkata kerjasama yang terjalin itu turut menyokong aktiviti penyelidikan, pendidikan dan latihan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Jelas beliau, inti pati MoU itu turut merangkumi kerjasama bagi memperkenalkan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya kepada masyarakat umum, sebagai pusat yang menyediakan peluang pendidikan kepada syarikat korporat yang berminat untuk menawarkan kursus latihan kepada kakitangan mereka.
“Kami memahami betapa pentingnya pembelajaran sepanjang hayat, walaupun selepas tamat sekolah dan universiti. Kami berusaha untuk menyesuaikan pembelajaran dengan evolusi teknologi abad ke-21. Oleh itu, pusat ini menjadi galakkan kepada individu untuk terus belajar, memperbaharui pengetahuan, dan meningkatkan kemahiran sepanjang hayat.
“Education On the Go adalah konsep yang kami galakkan. Ia merangkumi idea bahawa pembelajaran boleh menjadi fleksibel, terintegrasi dalam kehidupan harian, dan boleh diakses melalui teknologi mudah alih, seperti telefon pintar atau tablet. Konsep ini sesuai dengan perkembangan teknologi masa kini, dan kami berhasrat untuk menerapkan teknologi paling inovatif ke dalam amalan pendidikan di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya,” katanya.
Majlis yang berlangsung di Universiti Malaya Kampus Cyberjaya turut dihadiri Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid, Pengerusi TEKUN Nasional; Dato’ Adam Abd Ghani, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional dan Prof. Dr. Andri Andriyana, Pengarah International Relations Centre (IRC) Universiti Malaya.
Selain itu, pengurusan tertinggi Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Zuraidah Abdullah, Timbalan Dekan Bahagian Pembangunan & Penciptaan Nilai dan Prof. Madya Dr. Nur Amalina Abd Ghani, Timbalan Dekan Bahagian Akademik, Pelajar & Pentadbiran turut hadir memeriahkan majlis.
Prof. Dr. Yatimah berkata, pembelajaran berasaskan pengalaman menjadi pemangkin kepada Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya kerana, ia menggalakkan penglibatan aktif dalam proses pembelajaran, berbanding penyerapan maklumat secara pasif. Ini kerana, pembelajar secara aktif dalam pengalaman akan menjadikannya lebih menarik dan mudah diingati.
Beliau menambah, pembelajaran berasaskan pengalaman menekankan penggunaan praktikal pengetahuan dan kemahiran. Bahkan, pelajar berpeluang untuk mengaplikasikan apa yang telah dipelajari dalam situasi dunia nyata, merapatkan jurang antara teori dan praktik.
“Pembelajaran berasaskan pengalaman membantu individu mengembangkan kemahiran praktikal, keupayaan menyelesaikan masalah, dan adaptabiliti. Kemahiran-kemahiran ini sangat berharga dalam konteks pendidikan dan peribadi.
“Malah, boleh disesuaikan dengan minat dan keperluan individu. Pelajar boleh memilih pengalaman yang sejajar dengan matlamat dan aspirasi mereka, menjadikan proses pembelajaran lebih peribadi,” jelasnya.
Katanya, MoU yang dimeterai hari ini merupakan langkah penting untuk membina ekonomi yang lebih mampan di Malaysia. Bahkan, akan menjadi contoh terbaik bagaimana kerjasama strategik antara entiti kerajaan dan institusi akademik dapat memberi manfaat besar kepada masyarakat.
Comentarios