Puan Nor Salwa (berbaju merah jambu) menerima sumbangan khas daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), UMCCed
SELANGOR, 18 MAC 2024 – Kecederaan yang dialami seorang pelajar Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed) selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya tahun lalu kini beransur pulih.
Ibunya, Nor Salwa, 59 berkata anaknya Muhammad Luqman Mohd Razi, 19 yang dilaporkan kritikal sejak hari kemalangan menunjukkan perkembangan positif sepanjang proses rawatan dan pemulihan di Wad Perubatan Rehabilitasi, Pulau Pinang.
“Alhamdulillah, Luqman dah boleh menunjukkan isyarat tangan sekiranya dia mahu meminta apa-apa perkara. Paling menggembirakan Luqman berupaya untuk pulih lebih awal daripada jangkaan doktor. Ini suatu yang sangat menakjubkan dan menyenangkan hati saya kerana mengikut tahap kecederaannya yang serius sebelum ini mungkin akan mengambil masa yang lama untuk pulih.
“Tapi, dengan izin Tuhan, dia mampu sembuh sebelum masanya. Namun, ada sesetengah perkara yang terbatas untuk Luqman buat seperti dia tidak boleh berdiri terlalu lama untuk kurangkan pening dan emosinya juga sedikit terganggu jika dia terlalu penat.
“Sejak hari pertama kejadian, saya sentiasa berdoa semoga Luqman cepat sembuh dan dapat meneruskan pengajiannya kembali serta bertemu rakan-rakan sekuliah seperti biasa,” katanya Ketika ditemui di Wad Perubatan Rehabilitasi, Pulau Pinang.
Beliau yang ditemani oleh adiknya, Sofia Aniza menzahirkan rasa syukur atas kunjungan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), UMCCed yang diwakili oleh Puan Saliha Sairan dan Encik Muhammad Arif ke hospital berkenaan. Dalam kunjungan itu, JHEP menyampaikan sumbangan khas kepada Muhammad Luqman serta sedang meneliti bantuan lain yang wajar diberikan.
Terdahulu, Muhammad Luqman Mohd Razi yang merupakan penuntut tahun pertama Diploma Pengurusan Perniagaan di UMCCed terbabit dengan kemalangan jalan raya pada 22 Disember tahun lalu apabila motosikal yang diboncengnya dilanggar oleh sebuah kereta di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Muhammad Luqman yang parah di kepala telah dirawat di Hospital Kepala Batas sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang. Kemalangan ini turut membabitkan rakannya yang juga merupakan penunggang motosikal tersebut, namun hanya mengalami kecederaan ringan.
Comments