top of page

[Warta Terkini UM] UMCCED LAKSANA KUNJUNGAN HORMAT KE KEMENTAH


PUTRAJAYA, 18 MAC 2024 – Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed) telah melaksanakan satu lagi langkah penting dalam membina kerjasama strategik bersama jabatan Kerajaan dengan mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) melalui Jabatan Arah Pendidikan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Lawatan kunjungan hormat ini telah berlangsung di Perpustakaan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) sekitar jam sepuluh pagi.


Kunjungan ini dihadiri oleh Timbalan Pengarah Eksekutif, Pembangunan, Penyelidikan, dan Inovasi, UMCCed Profesor Madya Dr. Zuraidah Binti Abdullah dan Pengurus Kanan, Pembangunan, Penyelidikan, dan Inovasi, UMCCed En. Shamsul Adzhar Bin Mat Baki disertai dua orang pegawai pemasaran dari UMCCed.


Dalam pertemuan selama kira-kira sejam itu, KEMENTAH yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Arah Pendidikan Tinggi, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut mendengar taklimat mengenai penawaran program pengajian tinggi di UMCCed khususnya program Diploma Eksekutif serta program profesional yang relevan dengan keperluan KEMENTAH.



Antara perbincangan lain yang telah diutarakan termasuklah memperkenalkan program pengajian Diploma sepenuh masa kepada anak-anak anggota ATM serta peluang kerjasama program-program khidmat masyarakat yang bersesuaian kepada mereka. Pihak Jabatan Arah Pendidikan ATM amat berbesar hati untuk menjalin kolaborasi strategik jangka pendek dan jangka panjang dengan UMCCed, yang diharapkan dapat memenuhi keperluan dan kehendak KEMENTAH sambil memberi pulangan yang bermanfaat kepada kedua-dua belah pihak.


Pengarah Jabatan Arah Pendidikan ATM turut berminat menyatakan komitmen bagi meneruskan perbincangan lanjut mengenai promosi, pakej, serta program-program yang bersesuaian serta intipati Memorandum Persefahaman (MoU) yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.



Pertemuan ini dianggap sebagai batu loncatan kepada pengukuhan jalinan kerjasama antara KEMENTAH dan UMCCed di samping membuka peluang baru bagi pembangunan profesionalisme dan peningkatan kemahiran dalam kalangan anggota ATM serta masyarakat umum.

27 views0 comments

Comments


bottom of page