top of page

[Warta Terkini UM] INISIATIF PELAJAR PUPUK KESEDARAN DERMA DARAH


CYBERJAYA, 8 Januari 2024 – Menyedari hakikat negara memerlukan bekalan darah yang banyak sebagai stok simpanan untuk keperluan insan memerlukan, pelajar Diploma Perakaunan, Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya mengambil inisiatif menganjurkan program derma darah. 


Program sehari yang mensasarkan 50 penderma untuk 50 beg darah bagaimanapun menerima sambutan yang memberangsangkan daripada kalangan pelajar Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, apabila menerima penyertaan lebih 100 penderma yang mengambil bahagian termasuk daripada kakitangan. 



Menurut Pengarah Program, Muhamad Irfan Danial Syamsul Bahri, aktiviti tanggungjawab sosial korporat yang diusahakannya bersama 58 pelajar tahun akhir Diploma Perakaunan itu adalah hasil usahasama bagi memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan menderma darah. 


“Sebenarnya, setiap kelas diminta untuk mengadakan satu aktiviti CSR sebagai pendedahan kepada pelajar mengenai program CSR. Asalnya, aktiviti yang ingin dilakukan adalah melawat rumah anak-anak yatim atau warga emas, kerana aktiviti sebegini yang popular dilakukan. 


“Tetapi, memandangkan ada kelas lain yang melakukan aktiviti itu, kami membuat keputusan untuk menganjurkan program derma darah memandangkan program sebegini tidak memerlukan kos yang besar, disamping dapat memberi pendedahan kepada pelajar,” katanya. 


Jelasnya, meskipun program itu dilihat sukar dan rumit kerana perlu berurusan dengan pelbagai pihak termasuk pengurusan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, namun, sambutan yang diterima sangat menggalakan. 


Tambahnya, aktiviti itu juga dapat memberi sumbangan kepada tabung darah negara, disamping memberi peluang kepada orang ramai untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dengan hanya RM5 kendalian panel kesihatan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya. 



“Saya tidak menyangka sambutan yang diterima sangat menggalakan kerana yang kita sasar hanya 50 orang, tetapi yang mendaftar secara online lebih daripada 130 orang tidak termasuk yang datang secara walk-in,” katanya.  


78 views0 comments

댓글


bottom of page