top of page

[Warta Terkini UM] DI SEBALIK HARI ORIENTASI DIPLOMA UM


CYBERJAYA, 18 November 2023 - Hari Orientasi sememangnya merupakan program wajib kepada mereka yang secara rasminya mendaftar sebagai mahasiswa di institusi pendidikan tinggi. Program ini merupakan jambatan awal kepada mahasiswa untuk berasimilasi dan beradaptasi dengan suasana baharu kampus. 


Kaunselor Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya berkata Hari Orientasi Pelajar Baharu Diploma UM Ambilan November Sesi 2023/2024  yang dijalankan selama dua hari di kampus baharu Cyberjaya adalah bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada mahasiswa mahasiswi baharu. 


“Ini adalah orientasi yang kedua kami laksanakan pada tahun ini khusus untuk ambilan November 2023. Sepanjang tempoh dua hari program ini pelajar akan diberikan taklimat berkenaan pembiayaan, akademik dan juga aktiviti-aktiviti santai bagi membina ikatan perpaduan mahupun semangat kekitaan antara mahasiswa.


“Hari orientasi ini penting bagi membantu mahasiswa membina sahsiah dan keperibadian unggul sepanjang tempoh pembelajaran mereka di alam kampus”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ditemubual wartawan EduFokus UM pada hari pertama Hari Orientasi Pelajar Baharu Diploma UM Ambilan November Sesi 2023/2024 dijalankan di Universiti Malaya Kampus Cyberjaya.



Sementara itu, beberapa orang mahasiswa baharu Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya turut memberikan maklum balas positif dan teruja untuk memulakan pengajian mereka.


ARWAH IBU INSPIRASI UNTUK PILIH UM



Kemalangan jalan raya yang berlaku pada Jun lalu tidak mematahkan semangat Muhamad Darweiss Haikal Ghazali untuk terus menyambung pengajian di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, meskipun kehilangan orang tersayang. 


Malah, arwah ibunya menjadi kekuatan dan menyuntik semangat pelajar Diploma Pengurusan itu untuk terus menjadikan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya sebagai institusi pilihan, meskipun kejadian itu berlaku ketika mereka sekeluarga mahu menghadiri Hari Terbuka Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya. 


Tidak patah semangat dengan peristiwa hitam itu, Muhamad Darweiss Haikal mahu membanggakan arwah ibu dan adik-beradiknya untuk menggapai impian bergelar mahasiswa. Katanya, pilihan yang dibuat itu juga adalah jalan terbaik bagi menyambung pengajian diploma, di samping jenama Universiti Malaya di mata dunia. 


“Kita perlu menjadi orang yang lebih kuat berbanding orang lain. Saya memilih sini kerana menganggap ini adalah jalan terbaik untuk program diploma,” katanya yang juga penerima biasiswa Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya.


DATUK MENJADI MOTIVASI UNTUK SAMBUNG PENGAJIAN DI UM



Berbeza dengan Farzana Imran, pemilihan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya sebagai lokasi untuk menyambung pengajian adalah disebabkan oleh datuknya yang juga seorang profesor di sebuah universiti awam, merupakan bekas graduan Universiti Malaya. 


Menurut pelajar jurusan Diploma Pengurusan Sumber Manusia itu, jenama Universiti Malaya sendiri menguatkan lagi impiannya untuk menyambung pengajian di sini, ditambah pula dengan sokongan dan cadangan daripada seorang teman baik. 


“Pemilihan program ini juga adalah kerana saya tahu apa yang saya inginkan untuk masa depan. Saya ingin menjadi seperti datuk dan itu juga menjadi kekuatan untuk saya berada di sini,” katanya. 


TINGGALKAN IJAZAH UNTUK DIPLOMA PENGURUSAN SUMBER MANUSIA



Memilih bidang yang dianggap kurang tepat dan sesuai menyebabkan Mohamad Danish memilih program Pengurusan Sumber Manusia di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya. Bekas pelajar ijazah Pengajian Bahasa Arab itu menganggap, kesukaran untuk menguasai program yang dipilih sebelum ini membuatkannya beralih kepada diploma.


Malah, sokongan keluarga untuk dia menukar program pengajian disebabkan kurang minat, memberikannya harapan untuk memilih bidang lain yang dianggap sesuai. Bahkan, pemilihan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya juga disebabkan oleh jenama Universiti Malaya yang sudah diakui dan dikenali. 


“Saya kurang minat dalam Bahasa Arab dan takut akan mengecewakan harapan ibu bapa, jadi saya mengambil keputusan untuk bertukar bidang. Saya ingin menamatkan pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas ini dan untuk membanggakan kedua-dua ibu bapa saya, Insya-Allah,” katanya. 


KEDUDUKAN UM SEBAGAI UNIVERSITI NOMBOR SATU JADI PILIHAN



Disebabkan oleh jenama Universiti Malaya yang sudah dikenali seantero dunia serta pengkhususan program-program di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya yang diakui dan diiktiraf, menjadi penyebab Krishantara memilih untuk menyambung pengajian di sini. 


Pelajar jurusan Diploma Akauntan itu berpendapat, keputusan memilih Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya dibuat selepas membaca maklum balas positif bekas graduan yang menganggap program-program diploma yang dikendalikan di sini setanding diploma universiti awam lain.     


“Menjadi harapan saya untuk terus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi lagi di Universiti Malaya selepas tamat pengajian ini. Saya melihat Universiti Malaya sebagai sebuah institusi yang amat diyakini dan turut dikenali di dunia, itu menguatkan lagi hasrat saya untuk berada di sini,” katanya. 


34 views0 comments

Comments


bottom of page