CYBERJAYA, 18 November 2023 - Program orientasi pelajar baharu program diploma Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya membangkitkan semangat dan keyakinan pelajar dengan perkongsian pengalaman oleh Dekan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, Prof. Dr. Shahrul Mizan Ismail, yang selesa menceritakan kisah pengalaman beliau sebagai pelajar sehingga berada di kedudukan sekarang.
Cabaran yang ditempuhi beliau sehingga bertukar bidang daripada minatnya dalam jurusan undang-undang, memberi inspirasi kepada pelajar agar memilih bidang yang dirasakan sesuai dengan keupayaan diri serta bersungguh-sungguh merealisasikan impian yang ingin dicapai.
“Cita-cita saya ingin menjadi peguam dan sebab itu saya menyambung pengajian dalam bidang undang-undang. Namun, disebabkan cabaran tugas dan tekanan, mengubah diri saya menjadi seorang pensyarah.
“Kemudian, saya menyambung pengajian dalam bidang undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia yang membawa saya bertugas di United Nation. Namun, kesihatan bapa saya yang tidak memuaskan, saya mengambil keputusan untuk balik ke Malaysia dan menjalankan perniagaan nasi ayam dari rumah demi menjaga ayah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan hampir 200 pelajar baharu program diploma Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya pada Hari Orientasi yang berlangsung di Kampus Cyberjaya.
Jelas Dr. Shahrul Mizan, pengalaman sebagai pelajar adalah langkah pertama yang menjadi titik pemisah antara alam persekolahan dan universiti bagi penentu kerjaya masa depan. Tambah beliau, setiap cita-cita perlu memberikan manfaat kepada orang lain dan haruslah dilakukan dengan bersungguh-sungguh serta yakin dengan ketentuan Tuhan.
“Sebagai pelajar, kita perlu abaikan apa yang orang lain kata, meskipun mengambil program diploma, kerana setiap pelajar di sini tetap berstatus mahasiswa Universiti Malaya. Jangan anggap kehadiran kita di sini adalah kebetulan, tetapi, satu pilihan yang bijak demi masa depan,” katanya.
Sebelum menamatkan ucapan, Dr. Shahrul Mizan sempat berkongsi serangkap sajak nukilan Sasterawan Negara, Baha Zain bertajuk Pilihan Usia sebagai renungan dan penghayatan setiap pelajar.
Bila aku lapan belas, aku tidak memilih pasangan, tetapi, cinta
Bila aku dua puluh, aku tidak memilih angin, tetapi, api
Bila aku tiga puluh, aku tidak memilih perubahan, tetapi, revolusi
Bila aku empat puluh, aku tidak memilih resah, tetapi, sepi
Bila aku dewasa, aku tidak memilih khayalan, kecuali yang pasti tanpa ketakutan lagi.
Comments