top of page

[Hear Senior] BUAT PERSEDIAAN ENAM BULAN SEBELUM MELANGKAH KELUAR

Persiapkan diri bagi menghadapi dunia luar yang lebih mencabar dengan membuat persediaan enam bulan sebelum tamat pengajian. Tinggalkan alam universiti dengan kenangan manis, susun strategi dengan perancangan yang akan ditempuh di hujung semester agar tidak mengalami kejutan budaya di alam pekerjaan. 



Dalam tempoh pecutan terakhir, bakal graduan sepatutnya sudah mempunyai perancangan yang ingin dilakukan. Bagi yang sudah diintai bakal majikan, rancang langkah yang perlu diambil bagi menempuh dimensi baharu kehidupan. 


Bukan mudah memulakan kerjaya dengan persekitaran yang berbeza daripada dunia pendidikan. Apatah lagi, apa yang dipelajari di kampus tidak semestinya dapat diterapkan dalam pekerjaan. Namun, pengalaman akan mematangkan fikiran dan mendewasakan kita untuk membentuk masa depan. 


Jangan goyah dengan anasir luar yang mungkin meracuni minda mengenai dunia pekerjaan yang agak mencabar. Sebaliknya, rancang perjalanan hidup selepas menamatkan pengajian dengan teliti agar tidak tersentak dengan kejutan yang akan ditempuhi. 


Mulakan dengan sasaran industri yang ingin diterokai bersesuaian minat dan kelebihan diri, bukannya kehendak nafsu berdasarkan gaji. Selidiki latar belakang syarikat yang ingin disertai, berdasarkan jenis perniagaan dan keupayaan bersaing di dalam industri. 


Faktor lokasi dan fasiliti perlu diteliti, agar mudah untuk mengakses dan tidak teragak apabila melapor diri. Jangan sampai terlewat ke lokasi, akan tercalar imej, terjejas reputasi. Jadikan dunia baharu pekerjaan sebagai alam kehidupan yang menarik untuk di selami dengan kenangan, pengalaman, kemahiran dan pembentukan jati diri. 


Apabila sudah terbentuk sahsiah diri sebagai pekerja berdedikasi dan berkeyakinan tinggi, barulah mendabik dada meletakkan mahar yang tinggi, bersesuaian dengan pengalaman dan kelayakan yang dimiliki.  


Perlu diingatkan, perancangan kewangan juga perlu diteliti agar tidak tersasar daripada kemampuan diri. Seeloknya belajar menguruskan pendapatan dengan orang yang lebih diyakini, atau mungkin boleh mengikuti program berkaitan kewangan yang disediakan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya sebagai pemahaman kendiri.


Ini kerana, rata-rata graduan yang memulakan pekerjaan akan tersenyum girang, hilang pedoman apabila pertama kali menerima gaji. Akibatnya, boros sehingga terlupa diri dan terseksa untuk menunggu gaji lagi. 


Berbelanja mengikut kecukupan gaji, bergaya berdasarkan kemampuan diri, bukan mengikut trend terkini, kelak menyesal terganggu kerja hakiki. Molek kiranya jika perancangan yang diatur diselitkan dengan sasaran lima tahun akan datang, agar matlamat yang direncanakan menjadi pembakar semangat untuk berjuang bagi mencapai apa yang diinginkan.   


Jangan terlalu yakin dengan rezeki pekerjaan di depan mata, kerana yang dipandang indah selalunya tidak seperti digambarkan. Lumrah apabila berdepan dengan tekanan kerja, namun, itu akan menyuntik pengalaman berharga apabila ingin bertukar kerjaya atau meningkatkkan kedudukan sedia ada.


Bagi yang belum dikurniakan rezeki untuk memulakan pekerjaan, seeloknya mencari alternatif yang berfaedah untuk diisi sebelum disunting bakal majikan. Bagi yang masih belum dapat meninggalkan alam pembelajaran, teruskan pengajian lanjutan bagi menguatkan lagi kelayakan. 


Di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya sendiri mempunyai pelbagai program menarik yang dirangka berdasarkan kesesuaian, daripada kursus jangka pendek sehingga ke peringkat diploma eksekutif yang merangkumi pelbagai cabang pengkhususan, untuk menyuntik lagi kemahiran dan pengalaman. 


60 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentarios


bottom of page