Kecanggihan teknologi seiring peredaran peradaban dunia merubah landskap kehidupan tamadun manusia masa kini. Apatah lagi, dengan penularan wabak yang menggemparkan dunia tiga tahun lalu, cukup mencabar dan menguji akal pemikiran manusiawi disebabkan perubahan drastik kepada rantaian kehidupan hakiki.
Rentetan daripada itu, keseluruhan sistem pendidikan turut terjejas dan melalui proses menormalisasikan teknologi ke dalam pembelajaran. Baik di sekolah mahupun di peringkat pengajian tinggi, turut terkait dengan perubahan yang berlaku.
Tetapi, mampukah pelajar mendepani era baharu kehidupan yang mula menjadikan teknologi sebagai jambatan dalam menimba ilmu? Malah, dengan kecanggihan sistem kecerdasan buatan atau AI yang sudah mula diadaptasi dalam pembelajaran, menjadikan rangkaian sistem pendidikan kini lebih menarik.
Mahu ataupun tidak, setiap pelajar terpaksa mengharungi cabaran baharu dunia pendidikan kini yang dilihat selari dengan alam pekerjaan yang turut terkesan dengan perubahan yang berlaku. Jika sebelum ini kehadiran ke pejabat dengan sistem kad perakam waktu digunapakai, tetapi kini sistem biometrik mula mendominasi sektor pekerjaan.
Bahkan, kehadiran pekerja setiap hari ke tempat kerja tidak lagi menjadi satu keperluan bagi sesetengah sektor industri, di mana bekerja dari rumah sudah mula mendapat tempat dalam kalangan majikan, di samping dapat mengurangkan kos pengoperasian.
Hakikatnya, itu perlu dipraktikkan pelajar di kampus dengan perubahan yang berlaku sebelum mendepani dunia sebenar pekerjaan. Belajar secara maya dengan menjadikan peranti mudah alih sebagai perantara tanpa perlu bersemuka, adalah cabaran yang akan mendidik pelajar untuk membiasakan sesuatu yang baharu.
Penerapan teknologi dalam pembelajaran bagi mendepani perubahan dunia pekerjaan baharu, mencetuskan revolusi kepada Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya yang menerapkan konsep ‘education on the go’ dengan menjadikan pembelajaran lebih fleksibel, terintegrasi dan mudah diakses.
Kehadiran secara fizikal kini bukan lagi satu kemestian apabila teknologi sudah mula mengambil tempat sepenuhnya dalam sistem kehidupan. Seperti penggunaan telefon bimbit yang sudah mula mengguna pakai panggilan video sehinggalah kepada persidangan secara maya atau ‘video conferencing’, menjadi titik tolak kepada perubahan yang perlu ditempuhi.
Maka, setiap pelajar perlu belajar mengadaptasikan teknologi bukan sahaja dalam pembelajaran, sebaliknya, kehidupan agar tidak dianggap sebagai kejutan budaya disebabkan tidak didedahkan dengan perubahan yang berlaku.
Seperti yang diperkatakan oleh Prof. Dr. Yatimah Alias, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya menjadi pencetus kepada perubahan dalam mengaplikasikan teknologi paling inovatif ke dalam amalan pendidikan.
Oleh itu, setiap pelajar memainkan peranan untuk membawa perubahan dalam pendidikan agar kelayakan dan pengalaman yang diperoleh di alam kampus dapat dibawa keluar ketika menempuh dunia pekerjaan.
Comments