top of page

[Hear Senior] KETERANGKUMAN GENDER DAN PERSAINGAN PASARAN PEKERJAAN

Umum mengetahui nisbah jantina rakyat Malaysia terbahagi kepada seorang lelaki bersamaan empat perempuan atau lebih, yang memperlihatkan kadar pertumbuhan rakyat di negara ini tidak seimbang menyebabkan keterbukaan pasaran pekerjaan mengikut jantina tidak sekata.


Bahkan, di institusi pengajian tinggi sudah cukup membuktikan kaum perempuan mendominasi segenap fakulti, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Keterangkuman gender menyebabkan kaum lelaki lebih ramai di pasaran pekerjaan, manakala kaum perempuan yang lahir daripada lulusan universiti seakan menyepi. 


Meskipun terdapat kaum perempuan yang menduduki jawatan yang disandang lelaki, tetapi jumlahnya masih kecil. Malah, keberanian kaum perempuan menggalas tugas berat yang dipikul lelaki sepatutnya menjadi pengorak kepada perubahan daya tahan keupayaan jantina dalam industri. 


Sebaliknya, nisbah peluang pekerjaan membabitkan gender masih rendah dengan kadar tiga orang lelaki bersamaan seorang perempuan bagi sesetengah sektor termasuk industri berat. Hakikatnya, ramai graduan perempuan tersadai di rumah dan ada yang hanya menjawat jawatan sebagai ‘pengurus rumah tangga’ di usia muda dengan kelulusan tinggi. 

Apatah lagi, apabila sudah berumah tangga dan mempunyai ramai anak, menyebabkan golongan ini seakan pencen sebagai suri rumah. Namun, bagi sektor terhad seperti pengurusan, pendidikan dan perkilangan masih ramai disertai kaum perempuan. Ini menggambarkan peluang untuk kaum hawa berada sebaris dengan lelaki masih jauh. 


UBAH PERSEPSI, BERANIKAN DIRI UNTUK BERSAING

Jika dahulu, kaum perempuan di ibaratkan seperti sebutir permata dalam keluarga sehingga sukar untuk bertemu masyarakat luar. Tetapi, di era kerancakan pembangunan dan pertumbuhan pesat teknologi, istilah ‘kaum perempuan duduk di dapur’ tidak lagi dipakai kerana negara memerlukan tenaga mahir dan profesional yang ramai bagi meletakkan Malaysia berstatus negara maju. 


Lantaran itu, pembabitan kaum perempuan dalam pelbagai sektor industri perlu dipergiat dan dipertingkatkan dengan penyertaan graduan yang berani menyahut cabaran. Meskipun berkelulusan jurusan pengurusan, namun banyak cabang pekerjaan yang boleh disertai graduan seperti di syarikat multinasional dan konglomerat yang banyak melibatkan kaum lelaki dalam profesion tertentu. 


Usah terlalu menghadkan diri dalam ruang lingkup yang sememangnya sudah ramai disertai kaum perempuan. Sebaliknya, cabar diri untuk bersaing dengan kaum lelaki, meskipun ia kelihatan sukar untuk disertai. Yakinkan bakal majikan dengan keupayaan dan kelebihan diri untuk berada di tempat sama seperti lelaki.


Ini kerana keupayaan dan kelebihan sedemikian memberi lebih ruang kepada kaum perempuan meneroka lebih banyak peluang dan cabang industri yang selama ini lebih tertumpu kepada kaum lelaki. Jadikan kelulusan yang dimiliki sebagai batu loncatan untuk kembangkan lagi ilmu untuk mencuba sesuatu yang baharu, agar tidak tersekat pada pemikiran kelulusan yang diperolehi hanya untuk bidang tersebut sahaja.


PSH PELUANG UNTUK BERJAYA DALAM HIDUP

Ramai graduan yang memperoleh pekerjaan bukan seperti yang diharapkan dan tidak selari dengan kelulusan yang dimiliki. Namun, mereka berani mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang baharu, dan dari situ mereka meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dengan menyambung pengajian dalam bidang yang mengikut skop pekerjaan. 


Menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai ‘batu asah’ bagi mempertajamkan ilmu serta meningkatkan pengetahuan, tidak membuatkan seseorang itu dalam kerugian, sebaliknya mampu membawa perubahan kepada diri dengan menjadi lebih baik dan berintelektual.


Pelbagai program ditawarkan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk mengaplikasikan Pembelajaran Sepanjang Hayat dalam kehidupan mereka. Pilih dan rangka program sendiri yang dirasakan sesuai untuk diadaptasikan dalam kehidupan dan pekerjaan. Malah, boleh menentukan masa sendiri dan di mana sahaja untuk mengikuti pengajian tanpa halangan.

  


12 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page