top of page

[Hear Senior] MOHON KERJA UNTUK SUNTIK PENGALAMAN, BUKAN GAJI

Tidak dinafikan masih ramai graduan yang mencari pekerjaan berdasarkan gaji yang tinggi mengikut kelayakan yang diperolehi. Hakikat sebenar, pengalaman kerjalah yang perlu disuntik terlebih dahulu bagi mencantikkan profil kerjaya sebelum menentukan kadar gaji yang diingini. 


Kesilapan sedemikian sering kali dilakukan graduan menyebabkan kadar pengangguran semakin meninggi. Sedangkan pengalaman masih belum dimiliki, apatah lagi keupayaan untuk meyakinkan sesebuah syarikat mengenai kredibiliti dalam melaksanakan tugas yang bakal diberi. 


Tidak hilang kehormatan diri andai diberikan jawatan berpangkat rendah yang tidak setimpal dengan kelayakan. Tetapi perlu diingatkan, pengalaman sedemikian lebih berharga daripada terus menggalas tugas bergaji tinggi. 


Meskipun statistik kadar pengangguran dalam kalangan graduan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan penurunan sebanyak 4.1 peratus pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya, akan tetapi kadar tersebut masih tinggi dengan jumlah yang dicatatkan seramai 197,400 orang.


Data itu sudah cukup menggambarkan kebimbangan yang perlu diberi perhatian walaupun kerajaan menyatakan sebanyak lebih 15,000 kekosongan jawatan setiap tahun dalam sektor kerajaan masih belum terisi. 


JANGAN MEMILIH KERJA


Berpada-pada dalam menentukan kerja yang ingin dipilih. Jangan terlalu berharap, sebaliknya cuba mencanting pengalaman kerja meskipun ia bukan pilihan utama. Bina keyakinan dan jaringan pengalaman untuk tempoh lima tahun sebelum melangkah ke fasa kerjaya sebenar yang diimpikan. 


Tidak salah merendahkan kelulusan demi masa depan yang lebih baik dengan meneroka pelbagai cabang pekerjaan kerana itu akan membentuk kredibiliti dan akauntabiliti diri yang menjadi penelitian bakal majikan. 


Jangan sesekali menganggap diri hebat dan perlukan kerjaya yang bersesuaian, tetapi, bina keyakinan kepada bakal majikan untuk bakat dan kelebihan diri berkembang agar dapat melangkah lebih jauh. 


Usia muda bukan untuk mencari berapa banyak gaji yang diperlukan, sebaliknya seberapa banyak pengalaman yang perlu dicari. Perlu diingat, kelulusan hanyalah sekadar tiket untuk menempah tempat ke alam pekerjaan, tetapi, pengalaman yang dimiliki akan meletakkan diri ke tahap bernilai tinggi. 


BEREHAT ATAU BEKERJA SAMBILAN 


Terokai bidang pekerjaan sambilan untuk mengambil mod sebagai pekerja sebelum melangkahkan kaki ke alam sebenar. Belajar menguruskan masa sebagai pekerja disamping mengatur perancangan untuk memiliki pekerjaan yang stabil. 


Diingatkan, zaman ekonomi yang kian membimbangkan dan keadaan di mana kebanyakkan syarikat melakukan penstrukturan termasuk pengurangan kos pengoperasian ketika ini, agak sukar untuk mendapatkan pekerjaan bergaji tinggi, apatah lagi berstatus tetap. 


Oleh yang demikian, sebagai graduan perlu membina tapak dengan mengambil cabaran bekerja sambilan atau menerima tawaran bergaji rendah yang berstatus kontrak sebagai permulaan. Bermulalah daripada bawah meskipun ia kelihatan perit dan tidak berbaloi dengan usaha bertahun bertungkus-lumus mendapat sekeping kelulusan.



Andai sudah habis usaha, berehat seketika sebagai tempoh bertenang. Tetapi, dalam masa sama cuba mengikuti kursus jangka pendek atau pengajian separuh masa dalam bidang lain daripada kelulusan yang sudah dimiliki. Ini bertujuan untuk menguatkan keyakinan bakal majikan agar diberikan peluang kepada anda membentuk pengalaman kerja. 

    

Malah, di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya sendiri ada menawarkan pelbagai kursus Sijil Profesional sebagai nilai tambah kepada kelebihan diri di samping untuk mencantikkan resume atau curriculum vitae (CV). Ini bukan sekadar menarik minat bakal majikan, bahkan mampu menjadi bonus untuk ‘demand’ dalam memohon kerja yang diinginkan.

 


24 views0 comments

Comments


bottom of page