Tidak semua daripada kita dilahirkan dengan ‘makan hidangan berdulangkan emas’, kerana kehidupan menentukan masa depan yang lebih cerah, andai bijak mengatur langkah. Lumrah menjadi pelajar apabila ada yang terpaksa mengikat perut dengan biasiswa atau pinjaman pengajian yang diterima untuk berkongsi kepayahan dengan keluarga di kampung.
Tidak kurang juga ada yang terpaksa melakukan kerja sambilan demi mengurangkan bebanan keluarga untuk menyara kehidupan di kampus. Tindakan bekerja ketika masih belajar bukanlah asing, bahkan kebanyakan pelajar terutama yang menyambung pengajian di luar negara terpaksa mengambil langkah sedemikian demi menyara kehidupan.
Namun, itu bukanlah satu bebanan atau masalah kepada pelajar andai bijak mengatur strategi dan pandai membahagikan masa antara belajar dan bekerja, agar tidak menjejaskan pembelajaran. Tindakan sedemikian dianggap Nina Adlan Disney sebagai lumrah kehidupan sebagai pelajar, apatah lagi dengan peningkatan kos sara hidup kini yang membebankan.
“Saya rasa sudah menjadi trend pelajar kini belajar sambil bekerja sambilan, tetapi, ikut kemampuan dan keupayaan diri. Andai berasa selesa dan mampu untuk melakukan kedua-duanya, tidak menjadi satu masalah. Namun, harus pandai mengatur masa agar tidak mengganggu tujuan utama sebagai pelajar.
“Bahkan, saya sangat menyokong konsep pembelajaran sepanjang hayat kerana pendidikan tidak harus terhenti setakat apa yang kita miliki, sebaliknya, berusaha untuk terus memajukan diri, meskipun sudah bekerjaya,” kata Pengarah Eksekutif LeapEd Services ini.
Jelasnya, menuntut ilmu tidak boleh dianggap penamat setakat di sekolah dan universiti, tetapi, perlu diteruskan selagi berupaya. Malah, ketika bercakap pada Wacana Perdana Siri 23 yang bertajuk 'Kuasa Belia: Membina Masa Depan yang Lebih Baik Dalam Menghadapi Cabaran Ekonomi dan Alam Sekitar', Nina Adlan berkata, masih ramai kanak-kanak di Malaysia yang tidak boleh membaca, menyebabkan berlakunya ketidaksamarataan dalam sistem pendidikan negara.
Hal itu turut disokong dengan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang mengkelaskan seramai 6.61 juta belia berusia antara 15 dan 30 tahun terbabit dalam sektor pekerjaan dan daripada jumlah itu, seramai lebih 2 juta belia memperoleh pendapatan di bawah RM2,000 sebulan.
Ini menunjukkan, keperluan pendidikan penting bagi menentukan tahap keupayaan dan kebolehpasaran dalam industri bagi mencapai pendapatan perkapita rakyat Malaysia di tahap yang memuaskan seiring dengan negara lain. Jelas Pengarah Kanan Bahagian Statistik Akaun Negara, Norhayati Jantan, daripada 9.3 juta belia di Malaysia, kira-kira 407,000 belia adalah penganggur.
“Kalau kita lihat data DOSM, sektor tenaga bukan mahir seperti perkhidmatan dan pekerja jualan paling ramai membabitkan golongan belia dengan lebih 30 peratus daripada jumlah 6.61 juta belia yang bekerja.
“Sektor perkhidmatan, perkilangan dan pertanian paling ramai diceburi golongan belia dengan sektor perkhidmatan menjadi penyumbang tertinggi membabitkan hampir 67 peratus belia. Ini menunjukkan, golongan belia kini lebih terarah untuk bekerja daripada meningkatkan tahap pendidikan demi kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Comments