Memilih kerjaya yang terbaik dan tepat sememangnya menjadi impian setiap graduan kerana beranggapan, usaha keras mereka selama ini berbaloi. Namun, agak sukar untuk memiliki apa yang diimpikan jika tindakan yang dilakukan kurang berkesan, terutama dari segi penyediaan resume atau curriculum vitae (CV).
Diakui, ramai dalam kalangan lepasan institusi pengajian tinggi mengambil mudah atau memandang remeh soal menonjolkan diri dalam CV. Bukan bentuk lakaran yang perlu diberi perhatian, sebaliknya cara menonjolkan kelebihan diri untuk menarik keyakinan bakal majikan.
Sekadar menyatakan minat dan kelulusan yang dimiliki tidak cukup kuat untuk meyakinkan panel penilai. Perlu diingatkan, kelulusan sekadar ‘surat sokongan’ untuk melayakkan diri dinilai, bukan bukti untuk anda layak diterima bekerja.
Oleh itu, tonjolkan kelebihan diri dari segi keupayaan menggalas tanggungjawab dan cabaran, kreativiti dalam menjalankan tugas serta idea yang mampu membuka mata penilai agar dapat menyakinkan mereka mengenai kelebihan diri.
Jangan skeptikal dengan keupayaan diri, sebaliknya berani menyatakan apa yang mampu diberi supaya penilaian diri menjadi berharga. ‘Bintang utama’ dalam mempersembahkan CV adalah cara menyampaikan kelebihan, kekuatan dan keterampilan diri yang dinyatakan dalam bentuk penceritaan ringkas, namun, padat dan meyakinkan.
Minat dan hobi hanyalah watak sampingan yang tidak begitu diperlukan, tetapi, sekadar penyeri penceritaan. Namun, babak kelulusan perlu disampaikan dengan menarik, bukan sekadar bercerita mengenai kelayakan yang dimiliki dengan CGPA yang dicatatkan.
Bagi yang mempunyai pengalaman bekerja walaupun sekadar ‘barista’, persembahkan gaya penceritaan dan naratif garapan dengan berkesan serta ‘presentable’. Jangan terlalu meleret dan bersimpang siul, sebaliknya, dilakar dalam bentuk jalan cerita yang menarik kerana yang akan dinilai bukan jawatan, tetapi, usaha dan keupayaan.
Tidak mustahil kalau hanya sekadar barista mampu menjawat jawatan sebagai pengurus syarikat jika cara penyampaian diri ditonjolkan dengan berkesan. Hakikatnya, untuk CV atau resume kita dipandang, bukan menjadi pelengkap mengisi jumlah permohonan, adalah diri kita sendiri dalam menceritakan apa yang kita miliki, bukan apa yang dimahukan.
Usah terlalu peribadi dalam menyampaikan maklumat diri, sebaliknya, simpan sedikit penceritaan untuk disampaikan ketika temuduga nanti. Takut nanti tidak ada cerita yang ingin dipersembahkan, terkaku kelu kerana ketandusan idea.
Jangan lupa selitkan rujukan di hujung CV kerana itu menjadi penguat inti pati. Pilihlah orang yang berkaliber untuk ceritakan kesimpulan diri seperti pensyarah, bekas majikan atau ketua unit, bukan rakan mahupun bekas teman sekerja.
댓글