top of page

[#HearSenior] Semak Perkara Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Mengambil Keputusan Belajar Sambil Bekerja

Updated: Nov 15, 2022


Membuat keputusan belajar sambil bekerja bukanlah perkara yang mudah. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dengan teliti baik dari segi kemampuan kewangan, pembahagian masa hinggalah ke komitmen keluarga. Kekangan inilah yang mendorong pihak institusi pengajian tinggi untuk memberikan fleksibiliti kepada penuntut dalam usaha untuk membantu golongan pekerja mencapai cita-cita.


Jika anda sedang merancang untuk sambung belajar sambil bekerja, post ini khas untuk anda. Berikut beberapa tips dari kami untuk membantu memudahkan proses pengajian anda.


1. Survei tempat pengajian


Pilih tempat pengajian berdasarkan ketersediaan program yang anda ingini. Anda juga perlu menyemak masa kuliah, yuran pengajian dan lokasi. Buat perbandingan dan kaji beberapa buah institusi yang berdasarkan kriteria di atas. Sebagai contoh, Universiti Malaya melalui Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed) menawarkan program Diploma Eksekutif khas untuk golongan dewasa yang bekerja. Untuk memudahkan pengurusan masa pelajar, kuliah diadakan pada hujung minggu sahaja.


2. Pilih pengajian berkaitan dengan bidang kerja


Sekiranya anda mempunyai perancangan untuk membina kemajuan kerjaya, sebaiknya pilihlah bidang pengajian yang berkaitan dengan bidang kerja. Bukan sahaja boleh digunakan untuk kemajuan kerjaya bahkan juga memudahkan proses pemahaman dan aplikasi praktikal.


3. Perancangan Kerjaya


Sebaik sahaja anda memuktamadkan keputusan untuk menyambung pengajian, maklumkan kepada pihak atasan anda atau Pegawai Sumber Manusia untuk memudahkan urusan pengecualian kerja apabila peperiksaan tiba nanti. Selain itu, mudah juga untuk berbincang sekiranya anda memerlukan masa rehat untuk beberapa ketika sepanjang proses pengajian nanti.


4. Perancangan Masa


Kami memahami pengurusan masa agak rumit buat sesetengah individu terutamanya mereka yang sudah bekeluarga. Pembahagian masa untuk kerjaya, belajar dan keluarga adakalanya agak mencabar. Untuk memudahkan urusan anda, perbincangan dengan ahli keluarga, pihak organisasi tempat anda bekerja dan pensyarah amatlah digalakkan. Buat perancangan jangka masa lebih awal untuk menyelesaikan tugasan dan pekerjaan. Senaraikan tugasan yang perlu dilakukan bedasarkan keutamaan. Fokus pada tugasan yang diberikan, seboleh-bolehnya selesaikan tugasan tersebut dalam jangka masa yang telah ditetapkan. Gunakan masa sebaik-baiknya. Sekiranya tugasan berjaya disiapkan sebelum tempoh yang ditetapkan berakhir, gunakan masa lebih tersebut untuk memberikan ganjaran pada diri sendiri.


5. Rehat Secukupnya


Tuntutan komitmen yang banyak ada kalanya membuatkan anda tidak sempat untuk memberikan perhatian pada diri sendiri. Selalunya jika kita terlalu fokus untuk menyelesaikan urusan dan menyeimbangkan masa bekerja, belajar dan bersama keluarga, kita sering mengabaikan keperluan peribadi. Ada yang sanggup bersengkang mata demi untuk menyelesaikan tugasan. Berilah sedikit ruang untuk diri anda sendiri berehat dan sesekali berilah ganjaran atas usaha keras anda. Ingat, jangan sampai menagabaikan kesihatan. Nanti jatuh sakit siapa yang boleh bantu diri kita untuk selesaikan semua tugasan?


Apa yang kami boleh simpulkan di sini, kesemua perancangan boleh dijalankan dengan baik dengan pengurusan masa dan komitmen yang baik serta doa bergantung pada kepercayaan masing-masing. Kuatkan semangat dan tekad, kami doakan semoga semua urusan anda dipermudahkan.


Selamat maju jaya!

Recent Posts

See All

Comentários


bottom of page