Sejauh mana anda merasakan akses pengangkutan yang digunakan sehari-harian menepati piawaian dari segi kos, masa dan keperluan? Aksesibiliti menjadi keperluan setiap individu bagi memudahkan hubungan antara satu lokasi dengan lokasi yang ingin dituju. Ia bukan sahaja dapat membantu dalam pengurusan masa, tetapi membentuk kita menjadi seorang yang menepati waktu.
Mendidik diri agar sentiasa menghargai masa akan menjadikan jati diri seseorang yang menepati janji. Kehidupan yang berteraskan sahsiah diri dengan sikap bertanggungjawab, amanah dan jujur bukan sahaja dihormati dan dipercayai, malah memberi persepsi positif pada orang sekeliling.
Bukan mudah untuk membentuk keperibadian yang molek kepada masyarakat andai tidak dibentuk dan diasuh dari awal. Bahkan, seorang pemimpin yang banyak berjasa dan berkorban untuk sebuah organisasi juga mampu tersungkur jika sikapnya yang dihormati dicalari dengan sedikit kekhilafan.
Jadi, mengapa aksesibiliti dikaitkan dengan kehidupan? Metafora yang cuba dikaitkan adalah berkaitan perjalanan hidup dalam meniti hari-hari sebagai seorang insan. Bagaimana cara yang digunakan untuk menjalani kehidupan kita dengan jaringan akses yang tersedia. Ada orang selesa memacu perjalanan hidupnya sendiri dengan acuan yang dibentuk, tidak kurang juga insan yang perlu dipimpin untuk mengatur jalannya sendiri.
PILIH HALUAN YANG TEPAT
Apapun cara yang dipilih, berhubung kait dengan ketentuan masa yang diatur untuk menentukan jarak perjalanan yang perlu diambil dalam hidup. Mengambil jalan mudah dan singkat mungkin kelihatan cepat, tetapi, andai tersilap percaturan ia mampu mematikan perancangan yang diatur. Begitu juga dengan jalan yang jauh dan panjang, meskipun memerlukan masa, tetapi manfaat yang bakal diterima mungkin mampu merubah kehidupan.
Sama juga seperti apabila kita membuat pemilihan bidang pengajian. Memilih bidang pengajian sepenuh masa berbanding separuh masa mempunyai matlamat serta intipati berbeza, namun, sasarannya cuma satu untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna. Walaupun tempoh masanya singkat, namun sepenuh perhatian dan tumpuan perlu dikorbankan demi meraih impian bergelar graduan, berbanding pelajar separuh masa yang perlukan lebih waktu untuk menamatkan pengajian.
‘Pengangkutan’ sudah tersedia dengan jaringan akses yang perlu dipilih bagi menentukan hala tuju masa depan. Bergantung kepada kecerdikan akal untuk mencatur perjalanan mengikut kesesuaian masa agar matlamat yang dirancang mencapai sasaran.
Namun, terserah kepada selera sendiri sama ada mahu memandu sendiri yang lebih menjimatkan masa atau memilih pengangkutan awam yang perlukan masa untuk sampai ke destinasi. Hakikatnya, setiap daripada kita mempunyai perancangan hidup sendiri yang diolah, direka dan diatur mengikut kehendak, namun sudah disusun dan direncanakan oleh Sang Pemilik hakiki.
留言