Ramai yang mengimpikan kerjaya yang stabil dan berpotensi untuk berada di kedudukan tinggi dalam organisasi, tetapi, masih berminda ke belakang tanpa ada usaha untuk meletakkan diri di posisi yang diimpikan. Manakan tidak, jika di peringkat pengajian tinggi lagi sudah disemai dengan pemikiran ‘angan-angan Mat Jenin’, berangan dahulu usaha kemudian tanpa ada sebarang tindakan.
Matlamat sebagai pelajar adalah untuk membentuk masa depan yang lebih cerah selepas tamat pengajian. Namun, jika matlamat itu dipersia-siakan, mana mungkin masa depan yang di dambakan mampu direalisasikan. Didik diri menjadi pelajar berminda progresif dengan bersikap inovatif dan kreatif bagi membentuk diri menjadi individu yang sentiasa berhaluan mencapai kemajuan.
Meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada institusi pengajian tinggi bagi melahirkan cerdik pandai dalam masyarakat, sesuatu yang defensif tanpa usaha oleh pelajar sendiri bagi membentuk jati diri yang proaktif. Tonjolkan kelebihan diri berbanding orang lain adalah satu tindakan yang akan menyerlahkan kredibiliti agar dilihat sentiasa ke depan.
Jika kita mampu melakukan sesuatu yang tidak pada orang lain, tampilkan bakat itu dengan melakukan penambahbaikan dengan kreatif supaya kelebihan yang dimiliki akan memberikan dimensi baharu dalam hidup. Ini kerana, kebanyakan daripada kita berasa segan atau malu untuk menonjolkan kelebihan diri kerana takut dikritik.
Ibarat kata Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin, seorang pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia minda dan jiwa kita perlu melalui proses ‘kemerdekaan’ yang bebas daripada pemikiran tidak produktif serta proaktif. Ini kerana, minda dan jiwa yang merdeka dapat melakar perubahan besar kepada negara disebabkan memiliki masyarakat berminda kelas pertama.
Bagaimana untuk menjadi minda kelas pertama? Bukan bererti berasa selesa dengan apa yang dimiliki dan dikecapi, sebaliknya, sentiasa mencari mekanisme untuk majukan diri agar terus ke depan dengan inovasi dan idea baharu bagi diri dilihat relevan dalam masyarakat.
Jangan menjadi pelajar yang hanya berguna untuk diri sendiri, tetapi, jadilah insan yang bermanfaat kepada masyarakat. Mengambil semangat Beh Zeng Kang, seorang aktivis sosial dan kemasyarakatan, untuk menjadi seorang yang dipandang tinggi bukanlah dari segi fizikal, tetapi, dalaman diri yang mempunyai tinggi moral dan berminda progresif.
Sentiasalah mencari inisiatif untuk memajukan diri supaya tidak dilihat tersekat di kedudukan sama. Andai kita mahir bertukang kayu, jadikan kreativiti sebagai nilai tambah dalam kemahiran seperti menghasilkan arca atau ukiran yang bernilai tinggi. Begitu juga dengan bidang pengajian yang dipilih, kembangkan kepada saluran lain yang mampu melonjakkan kelebihan diri agar tidak statik pada pengkhususan yang diambil.
Tidak salah mencuba sesuatu yang baharu dan usah risaukan kegagalan kerana gagal adalah sebaik-baik pengajaran untuk bangkit membetulkan kesilapan. Ramai antara kita yang mudah berputus asa apabila gagal sekali, apatah lagi jika berkali-kali berdepan kegagalan. Hakikatnya, kegagalan itulah sumber kekuatan dan semangat untuk terus mencari peluang serta berjuang untuk berjaya.
Seperti Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim yang memulakan kerjaya sebagai anggota tentera, sering kali berdepan dengan jatuh bangun untuk diberi kepercayaan menjadi pengedar kereta terpakai di Malaysia. Berkat usaha dan semangat kegagalan yang ditempuhinya, pengasas Kumpulan Weststar itu kini menjadi pengendali syarikat aeroangkasa terkemuka di negara ini.
Oleh itu, jadikan bidang pengajian yang dipilih sebagai pemangkin untuk masa depan dan jangan terlalu meletakkan harapan akan memulakan kerjaya dalam bidang yang diimpikan. Sebaliknya, berani mencuba sesuatu di luar bidang pengkhususan dengan kelulusan yang bakal dimiliki. Jadikan kelayakan itu sebagai batu loncatan untuk mengembangkan kelebihan dan keupayaan diri dalam pasaran pekerjaan kelak.
Comments