top of page

[Hello Freshies] BINA HUBUNGAN BAIK DENGAN PENSYARAH, BONUS UNTUK TAMBAH ILMU


Sekadar datang ke kelas setiap hari dan mendengar apa yang diajar, tidak cukup untuk menghadam ilmu yang diperoleh tanpa ada hubungan baik dengan tenaga pengajar. Sudah diajar sejak kecil bahawa guru dan pensyarah ibarat ibu bapa yang mencurahkan ilmu bagi membentuk jati diri insan berguna kepada keluarga dan masyarakat.


Namun, jika hubungan baik itu tidak dibentuk, mana mungkin ilmu yang diperolehi dapat diserap ke minda. Mungkin ada segelintir pelajar beranggapan berbuat baik atau rapat dengan pensyarah adalah bersifat ‘membodek’ agar mudah lulus dalam ujian atau mendapat perhatian bagi memperoleh markah tambahan.


Sebaliknya, andai hubungan baik antara pelajar dengan pensyarah dibina atas dasar ilmu, nescaya apa yang diberikan oleh pensyarah cepat meresap ke minda, dan setiap butir pengajaran yang diperoleh akan menjadi memori yang cukup berharga. Masihkah kita mengingati guru yang pernah membuatkan kita tersenyum kerana pencapaian dan yang banyak membantu kita ketika hilang arah di sekolah? 


Jika memori itu masih tersemat di sanubari, itu bererti ikatan hubungan dengan guru cukup baik. Memori itu jugalah yang perlu dibina di alam universiti agar kita memiliki pembimbing yang sentiasa ada apabila memerlukan. Usah berasa takut atau bimbang hubungan baik itu disalah erti, tetapi, jadikan ikatan itu sebagai pemangkin untuk kita berjaya dalam pelajaran. 



Seorang anak kecil tidak akan mampu berjalan dengan sendirinya jika tiada yang membimbing dan mengajarnya, seorang warga emas yang uzur tidak akan mampu mengatur langkahnya andai tiada yang menjadi pendampingnya, begitu juga seorang individu yang berjaya tidak akan mengecapi kejayaan jika tiada yang menjadi ‘tulang belakangnya’. 


Setiap daripada kita tidak akan mampu berjalan dan berlari sendirian kerana kita memerlukan sistem sokongan dalam hidup meskipun seorang ‘introvert’. Begitu juga dalam mencari ilmu, kita memerlukan seseorang yang arif dan faham mengenai ilmu yang dicari dengan membina hubungan baik agar setiap butiran ilmu yang diperoleh akan menjadi manfaat dan petunjuk kepada perjalanan hidup. 


Malah, dalam Islam sendiri diajar agar umatnya sentiasa menjadikan ilmuan agama sebagai pendamping walaupun bukan secara formal, untuk membimbing bagi mencari jati diri seorang muslim. Sentiasalah membina hubungan baik dalam mencari ilmu kerana itu akan menjadi bekalan perjalanan kita pada masa kini dan selepas keluar kampus.


Hubungan itu yang di bentuk Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya agar setiap pelajarnya tidak tersisih dan mendapat sumber pembelajaran sama rata dengan bimbingan pensyarah berpengalaman bagi membentuk graduan yang berkualiti dan berpotensi di pasaran kerjaya kelak. 



Pelajar perlu memainkan peranan dalam membentuk sahsiah diri sebagai seorang penuntut ilmu, dan dengan menjalin hubungan baik dengan pensyarah akan menjadi bonus untuk proses pembelajaran itu lebih menyeronokkan. Bahkan, ilmu yang digali akan lebih mudah diakses dengan adanya pensyarah yang memahami keperluan pelajar sebagai kunci kepada pencapaian. 


Binalah hubungan akrab dan berkualiti dengan tenaga pengajar berbanding rakan sekampus, kerana doa seorang guru itu lebih mustajab dan ilmu yang diperoleh akan menjadi penunjuk untuk masa depan. Sentiasalah menjadi seorang yang banyak bertanya di dalam kelas kerana ia bukan sekadar dapat membantu diri, tetapi juga dapat berkongsi ilmu dengan rakan sekelas.  







13 views0 comments

Comments


bottom of page