top of page

[Hello Freshies] IMPLEMENTASI PENAMPILAN DIRI MENGIKUT TREND SEMASA


Gaya pembawakan dari segi pemakaian mencerminkan identiti diri yang akan memberi tanggapan terhadap pandangan orang lain. Presentable cara olahan dan pemilihan busana, akan menggambarkan ketelitian dan keperibadian yang menerapkan kebersihan diri, serta sentiasa mahu dilihat kemas dan rapi. 


Berbanding individu yang lebih selesa mengenakan apa sahaja pakaian di tubuh, bukan bererti tidak menitikberatkan kebersihan, tetapi lebih cenderung kepada sifat bersederhana atau ringkas dalam menjalani kehidupan. Namun, insan sebegini lebih banyak menyendiri atau kurang bergaul, tetapi seorang yang independent dalam mengharungi perjalanan hidup. 


Apapun gaya pemakaian dan penampilan diri, sebagai pelajar perlu menekankan soal kesopanan serta mengambil kira tatasusila dalam memilih pakaian yang sesuai ke kampus. Biar ringkas dan menarik, tetapi bukan yang mencolok mata kerana pakaian mencerminkan keperibadian diri, jangan sampai melanggar etika pemakaian sebagai seorang pelajar. 


Kebelakangan ini, industri fesyen kian berkembang mengikut peredaran semasa dan mula mengembalikan gaya retro dalam citarasa masa kini. Generasi kini mula mengadaptasi gaya penampilan yang pernah menjadi trend sekitar era 70 dan 80-an itu, namun, jika terlampau mengadun corak penampilan mengikut kehendak masa kini, boleh mencacatkan pandangan orang sekeliling. 


BERFESYEN BIAR SOPAN



Meskipun tiada garis panduan khusus dari segi fesyen, bentuk dan corak pakaian yang boleh dipakai di kampus, namun, sebagai pelajar perlu memahami peranan sebagai pelajar dengan kebebasan pemakaian yang diberikan pengurusan kampus, yang penting tidak terlalu senteng, tidak terlalu ketat dan tidak ranggi. 


Tidak salah berfesyen, namun, perlu berpada-pada dan mengikut kesesuaian situasi agar tidak dipandang sebagai mangsa fesyen. Pemilihan pakaian yang longgar dan labuh dengan padanan warna bersesuaian memainkan peranan penting dalam menonjolkan sifat keperibadian diri yang akan dinilai orang sekeliling. 


Hakikatnya, pemilihan pakaian yang betul dan sesuai dengan penampilan yang sopan lebih mencerminkan diri sebagai seorang pelajar, berbanding individu yang dilihat terlalu berfesyen, namun, tidak kena tempat dan keadaan. 


Jangan jadikan kesalahan berfesyen sebagai pandangan negatif orang terhadap diri kita, sebaliknya, kekalkan akhlak positif dalam diri dengan penampilan luaran yang sedap mata memandang. 


Bahkan, di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya amat menitikberatkan soal pemakaian bagi mencerminkan sebuah institusi awam. Berfesyen biarlah bersesuaian dengan peranan sebagai pelajar dan tidak terlalu menonjol yang boleh menjejaskan reputasi seorang mahasiswa pada pandangan masyarakat.



Warna juga memainkan peranan penting dalam penampilan diri kerana akan menerbitkan aura dalam diri. Ini dijelaskan pakar motivasi Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, yang mengambil contoh individu yang lahir pada bulan Mei akan menerbitkan aura positif jika mengenakan pakaian berwarna biru, hijau dan kelabu. 



77 views0 comments

Comments


bottom of page