top of page

[Hello Freshies] ELAK ‘BURNOUT’ KETIKA BELAJAR


Usah terlalu mengejar untuk menggapai bintang andai usaha yang dilakukan sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’. Malah, tidak pula perlu menekan diri untuk mencapai impian, kelak memakan diri. 


Situasi sedemikian boleh digambarkan kepada golongan pelajar yang terlalu memaksa untuk menjadi yang terbaik. Tidak kurang juga ada yang bersikap sambil lewa dalam menuntut ilmu kerana beranggapan, sekadar cukup makan masih mampu menggenggam skrol.


Hakikatnya, kejayaan tanpa tindakan dan usaha mana mungkin mampu meletakkan diri sebagai yang terbaik. Namun, sekadar tamat pengajian dan memiliki segulung kelayakan tidak menjamin masa depan yang baik, bahkan sukar memperoleh peluang yang cerah dalam kerjaya. 


Apatah lagi dalam keadaan sekarang yang kian menghimpit menyebabkan ramai lepasan universiti sekadar bekerja di pusat membeli belah dan ada yang menjadi pemandu e-hailing. Hanya yang berjaya melakar agregat cemerlang mempunyai tempat dalam industri yang diingini. 


Disebabkan ketidaksamarataan itu terdapat jurang dalam pendidikan yang membezakan antara yang baik dengan terbaik, meskipun mempunyai segulung kelulusan. Disebabkan oleh tekanan itu, ada dalam kalangan pelajar bertindak menekan dan memaksa diri untuk berjaya dalam pelajaran. 


Biar ‘overload courses’, tetapi jangan ‘overload diri’ jika tidak ada persiapan rapi kerana situasi itu boleh menyebabkan anda ‘burnout’ dek kerana kepenatan emosi dan fizikal. Jika tidak dihindari, boleh membawa ke tahap kemurungan. 


Jelas seorang pelajar kejuruteraan dari Universiti California, persediaan rapi sebagai pelajar perlu dititikberatkan bagi mengelakkan situasi itu berlaku. Antaranya, elak mengulang kaji pelajaran selepas jam 10 malam, sebaliknya, mulakan hari baru seawal pagi.




Tidak perlu menjadi pelajar 24 jam, sebaliknya, cuba lakukan aktiviti baharu serta melibatkan diri dengan pelbagai organisasi di kampus. Penekanan terhadap minda yang sihat dan emosi yang stabil mampu membentuk pelajar yang fleksibel dalam mendepani alam kampus.


Jangan jadikan kampus dan pelajaran sebagai bebanan, sebaliknya, nikmati alam mahasiswa dengan tenang kerana cita-cita tidak datang bergolek tanpa usaha yang gigih. Namun, tidak pula sehingga memaksa diri, akibatnya ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.


Pengurusan masa, tumpuan dalam kelas dan nota amat penting untuk menjadi pelajar yang berkebolehan dan berketerampilan dalam mengatur hidup sebagai mahasiswa. Jangan terpengaruh dengan momokan ‘life begins at 40s’, sebaliknya belajar memikul tanggungjawab sejak di universiti bagi mendidik sahsiah diri sebelum melangkah ke alam kerjaya.


77 views0 comments

Comments


bottom of page