Lumrah manusia apabila terselit sikap malas untuk melakukan sesuatu, apatah lagi ketika diberikan tugasan atau kerja yang mempunyai ‘dateline’. Gejala ini sering kali membelenggu kita menyebabkan ramai yang memandang remeh sikap suka bertangguh sehingga tugasan yang diberikan menimbun.
Jangan terlalu dijadikan tabiat dalam diri kerana ia akan memudaratkan emosi dan boleh mengganggu sistem imunisasi tubuh disebabkan tekanan. Situasi akan bertambah buruk apabila tarikh penyerahan tugasan atau kerja sudah sampai ke penghujung, akibatnya hasil yang diberikan tidak memuaskan dan tidak kemas.
Jika di amalkan sikap sedemikian, nescaya memberikan reputasi buruk kepada prestasi kerja dan tanggapan negatif orang terhadap keupayaan kita melaksanakan tugas yang diberi. Apatah lagi, jika sikap gemar bertangguh sudah ditanam dalam diri sejak di sekolah atau institusi pengajian tinggi.
Didik diri untuk sentiasa menjadi yang pertama menyiapkan tugasan atau kerja supaya mempunyai waktu untuk memperbaiki kekurangan dalam hasil tugasan dan ada masa terluang bagi melakukan aktiviti lain. Malah, sikap suka bertangguh ini disifatkan al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah, boleh menjadikan seseorang itu jatuh muflis dan membawa perkara yang buruk dalam kehidupan mereka.
Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi, ahli akademik Islam pernah berkata, manusia tidak seharusnya jatuh ke tahap malas kerana haiwan sendiri sangat rajin dalam melakukan pekerjaan mereka. Ini menggambarkan sikap suka bertangguh adalah tabiat buruk yang harus dihindari kerana ia terhasil daripada sikap suka bermalas-malasan, sedangkan ia sangat ditegah dalam Islam.
PERCAYA KEPADA KEMAMPUAN DIRI
Sentiasalah positif dan yakin dengan keupayaan diri untuk menyiapkan tugasan atau kerja yang diberikan lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan. Ini kerana, ia akan memberikan kita semangat dan keyakinan tinggi untuk melaksanakan sesuatu tugasan dengan tersusun dan teratur, malah, akan memberikan hasil yang sangat memuaskan.
Keupayaan mengurus kehidupan sebagai mahasiswa perlu dititik beratkan agar kita mempunyai perancangan yang tersusun, di samping mendidik diri menjadi seorang yang terurus dan sistematik dalam melakukan sesuatu perkara.
Ini kerana, sikap ketika menjadi pelajar akan menjadi cerminan masa depan, apatah lagi ketika melangkah ke alam pekerjaan. Jika di awal usia sudah ditanam dengan sikap malas dan gemar bertangguh, tidak mustahil sikap sedemikian akan terbawa-bawa sehingga dewasa yang akan merugikan masa depan.
Hakikatnya, sebagai pelajar perlu sedar mengenai tanggungjawab dan peranan yang harus dilakukan demi masa depan yang lebih cerah. Benar, tugas sebagai pelajar bukan sekadar belajar, tetapi, perlu memahami dan mengadaptasi situasi sekeliling, namun, tidak perlu sehingga menjejaskan peranan asal yang sedang digalas.
Antara tip yang dapat dilakukan bagi mengelakkan diri daripada bertangguh, seperti menyenaraikan semua tugasan yang diberi untuk memudahkan kita membuat penyaringan keutamaan tugas yang perlu disiapkan mengikut masa ditentukan.
Pilih tugasan yang perlu dibuat terlebih dahulu daripada senarai terbabit dan tandakan supaya ia dapat diselesaikan dengan segera. Kalau boleh, tampal senarai tugasan di tempat yang mudah dilihat supaya kita sentiasa ingat dengan tugasan yang perlu dibereskan.
Beri penghargaan kepada diri sendiri jika tugasan itu berjaya diselesaikan, kerana ia akan mendidik diri untuk sentiasa bertanggungjawab dan beramanah dalam melaksanakan tugas. Cuba libatkan orang lain seperti rakan sekelas, adik-beradik, ibu bapa, keluarga dan sebagainya supaya mereka akan sentiasa mengingatkan kita tentang amanah yang perlu dilunaskan dengan sebaiknya.
Comments