top of page

[Hello Freshies] GAGAL MASUK U, UM SEDIAKAN TEMPAT



Mungkin ada dalam kalangan lepasan SPM yang kurang bernasib baik tertanya-tanya perancangan seterusnya dengan keputusan yang kurang memuaskan. Adakah terus bekerja? Bagi yang masih mempunyai minat untuk menyambung pengajian, ke mana perlu dituju dengan keputusan yang dimiliki?


Bagi yang meminati bidang kemahiran, ada saluran khusus buat mereka. Tetapi, bagaimana pula dengan yang masih meminati bidang akademik? Bagi yang berkemampuan, mungkin pusat pengajian tinggi swasta menjadi pilihan. Bagaimana pula dengan yang kurang berkemampuan, atau mungkin mempunyai keputusan yang kurang cemerlang, namun tidak mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam.


Jangan patah semangat jika keputusan tidak memberangsangkan dan usah mengalah andai tidak tersenarai ke menara gading. Masih ada ruang yang dapat diisi, masih ada peluang untuk diperbaiki. Jangan jadikan kegagalan sebagai kelemahan, sebaliknya, merubah situasi untuk bangkit kembali. 



Jadikan pepatah, ‘jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya’ sebagai penyemat dalam sanubari. Betulkan yang salah, ubah persepsi negatif sebagai pemangkin untuk memajukan diri. Selagi ada semangat untuk maju, teruskan menempa nama ke peringkat lebih tinggi. 


Hanya berbekalkan keputusan SPM tiga kredit sudah mampu melangkahkan kaki ke menara gading, yang penting usah dikenang kisah yang sudah berlaku. Jadikan kesilapan lalu sebagai iktibar untuk terus maju. Bangkit melangkah ke alam baharu, jadikan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya sebagai penentu masa depan yang lebih jitu. 


Tidak semua daripada kita memiliki kelebihan dalam pendidikan kerana gagal bukan bererti lemah, manakala, yang pandai tidak semestinya cerdik. Oleh itu, jangan berasa rendah diri dan tersisih jika memiliki keputusan yang kurang memberangsangkan. Jadikan kesilapan itu sebagai pembakar semangat untuk terus bangkit memperbaiki kelemahan. 


Ada yang beranggapan, kalau sudah gagal tiada lagi ruang untuk diperbaiki. Sebaliknya, masih ada peluang untuk memantapkan diri, mengorak langkah seiring mereka yang memiliki kelayakan tinggi. Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya pencetus resolusi bagi mereka yang tidak berkelayakan cemerlang menggapai impian ke peringkat tertinggi.  


Jangan matikan rasa jika mahu berjaya seperti insan lain, kerana peluang masih terbuka luas untuk jadi yang terbaik. Ini kerana ramai merasakan diri mereka tidak ada peluang untuk menempatkan diri ke institusi pengajian tinggi disebabkan keputusan SPM yang tidak memuaskan.


Persepsi itu perlu diubah kerana masih ada universiti awam yang menawarkan pengajian kepada golongan terbabit untuk turut sama memajukan diri. Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya antara institusi yang membuka ruang dan peluang kepada lepasan SPM yang gagal mendapat tempat di IPT meneruskan pengajian. 



Namun, yang penting harus memiliki minat dan kesungguhan untuk maju ke depan kerana alam mahasiswa adalah permulaan langkah untuk ke dunia luar yang lebih mencabar. Terus bekerja selepas SPM mungkin dilihat sebagai kenikmatan kerana mampu menggenggam hasil pendapatan sendiri. Tetapi, seberapa lama mampu bertahan dengan kelulusan sedemikian, kerana dunia sekarang semakin mencabar jika tidak mempunyai kecerdikan dan kepandaian. 


Bahkan, dunia kerjaya kini lebih menekankan kelulusan jika tidak mempunyai pengalaman. Beruntung bagi yang mempunyai kelayakan pendidikan dan pengalaman kerana hamparan kerjaya terbuka luas, bahkan ada graduan sukar membuat pilihan. 


Apapun, bagi yang ingin terus maju ke depan, langkah dan perancangan disusun mengikut kemahuan. Tetapi, bagi yang merasakan diri sudah selesa dengan apa yang dihidangkan di depan mata, penyesalan di kemudian hari mungkin lebih menyakitkan.         


47 views0 comments

Kommentare


bottom of page