top of page

[Hello Freshies] MINDA BERILMU: SEMAI JATI DIRI INSAN SEJAHTERA

Dasar Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menggariskan keseimbangan dan keharmonian untuk membentuk insan berketerampilan dan berpotensi, perlu diterapkan sebagai jati diri setiap individu, agar dapat melahirkan sebuah masyarakat berilmu serta berdaya saing. 


Falsafah yang menerapkan unsur intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan itu, perlu disuntik dalam diri sejak kecil bagi melahirkan warganegara berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri.


Inti pati itu yang diketengahkan Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, bagi melahirkan insan sejahtera terutama dalam kalangan pelajar, bukan modal insan yang dijadikan sandaran untuk membentuk masyarakat berilmu dan berkebolehan.


Peradaban dunia sekarang perlukan persaingan bukan sahaja dari segi pembangunan dan ekonomi, sebaliknya, intelektual dan kreativiti untuk menempatkan diri dalam ekosistem kehidupan. Menjadi insan sejahtera akan membawa perubahan dalam membentuk masyarakat yang berintegriti dan akauntabiliti. 


Jelasnya, nilai itu perlu seiring perubahan landskap pendidikan yang semakin ke depan dengan nilai-nilai moral yang terkandung dalam dasar falsafah terbabit. Berucap pada Wacana Perdana Siri 23 yang bertajuk 'Kuasa Belia: Membina Masa Depan yang Lebih Baik Dalam Menghadapi Cabaran Ekonomi dan Alam Sekitar', Dzulkifli menekankan mengenai keseimbangan dalam membentuk jati diri yang selari dengan adab dan tatasusila sebagai insan sejahtera. 


“Bagi membentuk sahsiah diri yang berdaya saing dan berpotensi untuk meletakkan diri ke hadapan seiring dengan pembangunan dan arus kemodenan semasa, setiap individu perlu memupuk nilai-nilai ketimuran yang sudah semakin luput dalam masyarakat kini. Ini kerana, nilai adab dan kesopanan yang menjadi tunjang dalam membentuk masyarakat yang berintelektual semakin dilupakan. 


“Untuk membentuk seseorang yang bukan sahaja berkeupayaan dan berketerampilan dalam industri, tidak terletak kepada konsep modal insan yang dianggap dapat melahirkan individu yang berkebolehan dan berkemahiran, sebaliknya, perlu berbalik kepada matlamat asal dalam falsafah sebagai masyarakat timur yang tinggi dengan adab dan tatasusila,” katanya. 


Jelas beliau, jika nilai itu dipertahankan dan dipupuk dalam generasi kini, nescaya negara mampu melahirkan belia yang mampan dan mampu bersaing bagi membentuk sebuah negara yang akan melahirkan tenaga kerja berkeupayaan dan berkemahiran tinggi.


Tambah beliau, bagi mendepani senario perubahan teknologi yang semakin ke depan dengan kemajuan kecerdasan buatan atau AI, generasi belia perlu bersedia mengadaptasi sebarang perubahan dengan pantas agar tidak dianggap ketinggalan. Namun, dengan peningkatan revolusi industri atau IR yang sudah memasuki fasa 4.0, pemikiran golongan belia juga harus seiring dengan perubahan itu. 


“Tetapi, bagaimana kita mahu menempuh IR 4.0 kalau IR 2.0 masih ada yang ketinggalan. Malah, masih ada rakyat yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan liputan internet yang baik. Oleh itu, untuk melalui fasa baharu IR, semua rakyat perlu mengecapinya dengan saksama,” katanya.   

 


20 views0 comments

Comments


bottom of page