top of page

[Hello Freshies] MOTIVASI DIRI UNTUK KEKAL ISTIQAMAH DALAM BELAJAR

Lumrah sifat manusia ada pasang surut dan turun naik dalam melakukan sesuatu pekerjaan mahupun tugasan. Apabila mood terlalu rajin atau berada dalam situasi yang mengujakan, tugas yang bukan suatu keperluan pun boleh diselesaikan dengan mudah. Sebaliknya, jika mood di tahap berantakan dengan  jiwa serta emosi, sudah pasti kerja yang wajib diuruskan terasa berat untuk dilaksanakan. 


Laras bahasa yang mudah difahami apabila berada di dalam situasi negatif ini adalah malas. Sifat yang lebih banyak mendominasi diri ini jikalau dibiarkan berlarutan, mampu menguasai seluruh fizikal dan dalaman tubuh sehingga melumpuhkan motivasi. 


Usah di biasakan dengan sifat malas, kelak merugikan masa depan. Ini kerana, seseorang pelajar itu perlu belajar mengadaptasi situasi pembelajaran sebagai satu cabaran dengan meletakkan sasaran yang ingin dicapai. Jika di alam kampus lagi sudah keterlaluan menerapkan sifat sedemikian, nescaya aura negatif itu akan terbawa ke alam pekerjaan.


Bina tembok pertahanan diri daripada terus lemas dalam kemalasan dengan mencari sesuatu hal atau perkara yang boleh meningkatkan motivasi diri. Ada orang gemar membiasakan diri bercakap di depan cermin bagi menaikkan motivasi untuk meluahkan isi hati dan melepaskan aura negatif yang terbuku di hati. 


Tak kurang juga yang mempunyai teman atau pasangan untuk berkongsi emosi bagi membangkitkan semangat agar tidak kecundang dalam kemalasan. Sentiasalah bersikap sedar diri dan beringat bahawa matlamat sebagai pelajar, harus memberi tumpuan kepada pelajaran kerana dunia luar sangat kejam untuk ditempuhi. 


BETULKAN NIAT BELAJAR

Perlu diingatkan, hasrat kita memasuki pengajian tinggi bermatlamat untuk memajukan diri serta meningkatkan taraf pendidikan. Namun, apabila sudah melangkahkan kaki ke gerbang pengajian, niat yang ditanam dalam diri bagaikan tersasar apabila sudah bertemu rakan dan taulan. 


Jangan sempitkan pemikiran dengan andaian belajar perlu seharian, sebaliknya, jadikan proses pembelajaran sebagai satu keseronokan. Lazimi rutin harian dengan mendekati tenaga pengajar bagi mendidik diri untuk sentiasa mencetuskan persoalan, agar sentiasa bersedia dengan kebarangkalian tugasan atau ujian. 


Sementelah itu, jadikanlah rakan-rakan dan teman sebagai dorongan serta sokongan untuk bangkit daripada kemalasan, bukannya terus terbuai dengan keseronokan. Kadang kala kita terlupa dan leka dengan ajakan sehingga alpa asas perjuangan dalam pembelajaran. Jangan terbiasa dengan hasutan, ‘eh! Tak mengapa, sekejap sahaja’ tetapi, bersemangatlah untuk terus istiqamah demi masa depan.  


Bagi yang tidak berpeluang untuk menyambung pengajian disebabkan oleh kekangan selepas tamat persekolahan sehingga memaksa diri mencari rezeki, usah gusar untuk menambah pengetahuan. Selagi ada minat bagi meningkatkan taraf pendidikan, masih ada jalan untuk diteruskan meskipun terikat dengan pekerjaan. 


Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya menawarkan pilihan untuk yang inginkan peningkatan dalam diri. Program Diploma Eksekutif sebagai pemangkin agar realisasikan impian menggapai segulung kelulusan. 


17 views0 comments

Comments


bottom of page