Hasrat untuk menyambung pengajian pastinya menjadi impian ramai, demi kelangsungan masa depan yang lebih cerah. Namun, sejauh mana matlamat itu dapat dicapai dengan bidang pengajian yang dipilih jika yang diimpikan tidak dapat direalisasikan apabila tamat pengajian kelak?
Ini sering membelenggu graduan kerana sukar mencari pekerjaan yang sesuai dengan bidang pengajian. Malah, ada yang tersasar daripada kelulusan yang dimiliki disebabkan oleh terpaksa kerana persaingan dalam pasaran pekerjaan dan kurang permintaan atau penawaran membabitkan pengkhususan yang dimiliki.
Memetik kata-kata Prof. Dr. Shahrul Mizan Ismail, Dekan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, pilihlah bidang yang dirasakan sesuai dengan keupayaan diri serta menepati kehendak pasaran, dan bersungguh-sungguhlah merealisasikan impian yang ingin dicapai.
Ini kerana, ada dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih bidang pengajian yang dianggap mudah, dan ada yang terikut rakan. Sebaliknya, yang mudah itu tidak semestinya besar peluang kerjayanya, manakala, yang sukar itu tidak bererti tiada peluang untuk berjaya.
Hakikatnya, teliti dan fahami kehendak diri sebelum membuat pilihan, ke mana arah tuju masa depan. Jangan jadikan kelulusan yang dimiliki kelak sekadar hiasan di dinding rumah, tetapi, dibawa sebagai azimat untuk mengejar impian. Idolakan yang berjaya untuk menyemat tekad dan semangat bagi melangkah ke alam kehidupan yang lebih cerah.
Sebelum melangkah ke gerbang pengajian tinggi, sebaik- baiknya fahami impian diri dan selidiki peluang pekerjaan yang mendapat permintaan pasaran. Tidak semestinya perlu menjadi doktor, jurutera mahupun saintis yang dirasakan besar peluangnya, tetapi, mengikut keupayaan diri serta mampu meletakkan diri ke dalam pasaran pekerjaan.
Jika diamati, peluang dalam bidang seperti pengurusan, kandungan kreatif atau media baharu dan kewangan mempunyai tempat dalam pasaran kini. Malah, peluang berkaitan bidang terbabit bercambah dalam pasaran pekerjaan yang hanya perlu dipilih mengikut kesesuaian minat dan keupayaan.
Menyedari hakikat itu disamping permintaan pasaran, pengkhususan terbabit turut tersedia di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya bagi melahirkan graduan yang kompeten dan berpotensi di pasaran pekerjaan.
Menyajikan program Diploma dan Diploma Eksekutif dalam bidang Pengurusan, Pengurusan Sumber Manusia, Akauntan dan Pengurusan Perniagaan, proses pengajian yang dijalankan secara sepenuh dan separuh masa mengikut kesesuaian pelajar itu, turut memberi peluang kepada individu yang bekerja menyambung pengajian tanpa perlu mengorbankan sumber pendapatan.
Pilihan di tangan masing-masing bagi menentu hala tuju kehidupan dalam pekerjaan yang bukan sekadar memberi manfaat kepada diri sendiri, tetapi, turut berguna kepada orang lain. Mulakan langkah bermakna demi masa depan gemilang dengan mencanting lakaran kisah sebagai mahasiswa yang akan melahirkan graduan berkaliber.
Comments