Musim peperiksaan SPM masih lagi berlangsung dan akan berakhir di pertengahan Mac 2023 nanti. Jika ditanya, apakah hala tuju pelajar-pelajar lepasan SPM selepas ini, rata-rata memilih menyambung pengajian ke universiti bagi menambah ilmu pengetahuan dan mengasah kemahiran. Namun, perlu diingatkan bahawa kehidupan di alam kampus amat berbeza sekali dengan kehidupan di sekolah. Kehidupan di universiti sangat mendedahkan mahasiswa/i dengan kehidupan sebenar di luar sebelum memasuki ke alam pekerjaan. Artikel kali ini akan mendedahkan berkenaan perkara yang perlu diambil kira sebelum mendaftar masuk ke universiti sebagai panduan dan persediaan masa akan datang:
Tentukan Halatuju Selepas Tamat Pengajian
Sebelum memilih bidang pengajian yang ingin diceburi, perkara pertama yang perlu dititik beratkan adalah halatuju selepas pengajian. Bagi yang berminat ingin menyambung pengajian ke peringkat pengajian tinggi mesti mengetahui bidang dan kursus yang bersesuaian dengan kelayakan sedia ada serta serasi dengan minat kendiri. Hal ini kerana, setiap bidang atau kursus yang diambil menuntut anda untuk “meluangkan” sepenuh masa dan tenaga bersamanya supaya hasil akhirnya dapat memberi manfaat kepada masyarakat berdasarkan kepakaran yang telah dicipta. Jika masih tertanya-tanya apakah bidang yang sesuai untuk diceburi selari dengan minat, anda boleh menggunakan khidmat kaunselor kerjaya bagi membantu dalam menentukan halatuju kerjaya masa hadapan. Dalam masa yang sama, buat sedikit “research” berkenaan bidang tersebut seperti prospek kerjaya, peluang pekerjaan mahupun suasana pekerjaan.
Teliti Struktur Program Pengajian yang Ditawarkan
Sebahagian pelajar berpendapat “nanti masuk universiti, barulah kita fikir semua ini”. Jangan sesekali berfikiran sebegini. Anda perlu membuat persediaan lebih awal sebelum memulakan pengajian supaya tidak ketinggalan. Perlu ingat, menjadi seorang mahasiswa/i menuntut anda untuk lebih berdikari, matang dalam berfikir serta pantas bertindak. Cari dan ambil tahu maklumat lanjut struktur program pengajian. Maklumat berkenaan struktur program pengajian boleh didapati di laman sesawang IPT masing-masing. Antara maklumat yang perlu diambil tahu adalah seperti senarai subjek sepanjang tempoh pengajian, berapa subjek yang perlu diambil bagi setiap semester, cara penilaian akademik dibuat mengikut kiraan PNGK/CGPA/Pointer, bagaimana peperiksaan akhir dan jenis assignment, test atau quiz dilaksanakan termasuk tempoh cuti semester.
Kenalpasti Aktiviti Kokurikulum yang Sesuai
Jangan ingat di sekolah sahaja perlu sertai aktiviti kokurikulum, di universiti pun anda perlu melibatkan diri dengan aktiviti tambahan akademik. Setiap universiti akan mewajibkan pelajar mengambil salah satu aktiviti kokurikulum. Ianya wajib diambil dan merupakan salah satu syarat yang wajib dipenuhi sebelum layak diberi penganugerahan tamat pengajian. Kenalpasti minat diri agar anda boleh memilih persatuan, kelab termasuklah sukan yang bersesuaian untuk sertai sebagai inisiatif mengasah bakat dan kemahiran yang terpendam. Isilah masa lapang dengan perkara yang bermanfaat serta dapat memberi nilai tambah kepada diri namun dalam masa yang sama jangan mengabaikan matlamat sebenar sebagai mahasiswa/i iaitu menuntut ilmu.
Pembiayaan Pendidikan
Tidak semua daripada kita berasal dari keluarga yang berada, jadi untuk melanjutkan pengajian perlukan kepada pembiayaan sama ada biasiswa atau setidaknya pinjaman pendidikan seperti PTPTN. Disebabkan itu penting untuk menyelidiki pembiayaan pendidikan yang sesuai dengan kelayakan anda. Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pembiayaan pendidikan seperti JPA, MARA, Biasiswa Yang-Dipertuan Agung, Pinjaman Bank Rakyat dan seumpamanya boleh membuat semakan menerusi laman sesawang atau terus berhubung dengan Pegawai Khidmat Pelanggan masing-masing. Kenalpasti jumlah pembiayaan, syarat kelayakan, tarikh permohonan, tarikh wang dikreditkan ke akaun dan apa-apa maklumat yang penting agar lulus pembiayaan pendidikan tersebut.
Akhir kata, diucapkan selamat maju jaya kepada anda semua dan diharapkan perkongsian ini dapat membantu anda untuk menjalani suka duka kehidupan sebagai seorang mahasiswa/i kelak. Jom masuk universiti!
Comments