Pernah tak anda membaca berita mengenai golongan veteran yang menerima segulung pengiktirafan di peringkat pengajian tinggi pada usia 70-an atau 80-an? Mesti anda tertanya-tanya apa lagi yang hendak dibuktikan dan pencapaian apa yang masih kurang dalam usia sebegitu? Apa maksud pengiktirafan itu bagi mereka? Tentunya banyak persoalan yang berlegar di minda anda bukan?
Pertama sekali, suka untuk kami beri pencerahan mengenai konsep pendidikan itu sendiri. Masyarakat kita sering mengehadkan konsep “pendidikan” hanya untuk golongan muda sahaja. Sebenarnya pendidikan tidak dikhususkan kepada golongan muda untuk menambahbaik kualiti hidup. Ya, benar! Konsep pembelajaran sepanjang hayat (PSH) merupakan tindakan suka rela secara berterusan dalam menimba ilmu untuk meningkatkan kemahiran peribadi dan profesional. Perlu diingatkan juga bahawa PSH tidak terhad kepada pendidikan formal semata-mata tetapi juga perkara-perkara yang berkaitan dengan tuntutan keperluan hidup masa kini. Contoh terdekat yang boleh difahami ialah sebaik sahaja wujudnya aplikasi sosial, ramai pengguna akan berebut untuk menjadi antara yang pertama dalam mengendalikannya. Malah kebanyakan ibu bapa kita pada hari ini cekap dalam membuat panggilan video dan menghantar pesanan motivasi pagi untuk anak-anak, hasil proses pembelajaran bersama rakan-rakan dan anak-anak.
Jom kita kupas bersama-sama apa yang menyebabkan ramai individu tertarik dengan PSH.
1. Mengekalkan kecerdasan minda & memori
Kajian membuktikan pembelajaran yang berterusan membantu dalam memperlahankan peningkatan usia otak dengan mengekalkan aktiviti sel-sel otak pada tahap yang optimum. Semakin banyak seseorang berfikir, semakin banyak sel-sel otak bekerja. Jadi, bayangkan sahaja bagaimana daya kognitif anda sekiranya anda mengamalkan PSH.
2. Motivasi diri
Realiti kehidupan hari ini menyaksikan rutin harian yang tidak banyak perubahan. Baik dari sektor korporat hinggalah ke aktiviti harian suri rumah yang menguruskan rumah tangga. Bosan bukan? Oleh itu, ramai golongan dewasa yang sudah bekerja dan suri rumahtangga menyahut cabaran untuk keluar dari zon rutin dengan meneroka perkara baru. Bukan sahaja dapat memberikan ilmu baharu untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang di sekeliling kita. Kejayaan yang dibuktikan oleh golongan ini bukan sahaja mampu memotivasikan keluarga dan rakan-rakan terdekat malah juga orang awam secara amnya.
3. Meneroka minat dan matlamat baru
Selain daripada mengisi masa lapang atau mengurangkan rasa stres, proses pembelajaran dapat membantu mengenal pasti potensi diri sekaligus mengenal pasti matlamat baru. Sebagai contoh, tidak semua pelajar pengajian media cenderung untuk tampil yakin di hadapan kamera. Ada kalanya sesetengah pelajar perlu diasah bakatnya dan diberikan galakan untuk tampil yakin.
4. Penambahbaikan taraf hidup dan pencapaian peribadi
Kemahiran dapat memberikan pulangan yang lumayan kepada individu sekiranya diasah dan digilap dengan baik. Misalnya, kemahiran memasak dengan teknik yang betul boleh dimanfaatkan sebagai sumber pendapatan. Perniagaan yang dimulakan bukan sahaja dapat menyediakan peluang pekerjaan untuk keluarga bahkan juga komuniti setempat yang memerlukan.
5. Cakna perubahan terkini
PSH tidak hanya bertumpu pada pengisian ilmu secara formal. Oleh itu, PSH membawa kelebihan yang ketara kepada individu yang sentiasa ingin tahu mengenai perubahan yang terjadi di sekeliling. Contoh terdekat yang boleh difahami oleh semua lapisan masyarakat ialah kemaskini tebaru WhatsApp yang membenarkan pengguna untuk mematikan status “online” pada paparan nama. Sebahagian besar pengguna yang cakna perubahan akan menjadi antara pengguna pertama yang mengetahui mengenai perkara ini manakala pengguna yang tidak terlalu peka dengan perubahan yang terjadi hanya akan mengetahui mengenai perubahan apabila dimaklumkan.
Sekiranya anda masih tercari-cari aktiviti untuk mengisi masa lapang atau ingin mencuba perkara baharu, UMCCed menyediakan peluang kepada anda melalui penawaran kursus-kursus pendek dan sijil profesional dan kursus bahasa. Alang-alang mengisi permohonan, bolehlah ajak rakan-rakan anda untuk turut serta sekali.
コメント