Berniaga sambil belajar adalah perkara yang tidak asing lagi bagi mereka yang bergelar mahasiswa/wi di menara gading. Jika ditanya mengapa memilih untuk berjinak-jinak dengan perniagaan meskipun banyak tugasan hakiki universiti seperti assignment, quiz, test, presentation dan lain-lain perlu disempurnakan, rata-ratanya menjawab adalah untuk menambah pendapatan sampingan bagi kelangsungan hidup sebagai seorang pelajar di samping meringankan bebanan ibu bapa. Bukan disebabkan sikap tidak hemat dalam perbelanjaan harian, tetapi kadangkala keperluan melangkaui kemampuan pada saat-saat yang tertentu.
Meskipun berniaga sambil belajar menuntut komitmen yang berterusan daripada mahasiswa/wi, terdapat juga kebaikan yang bakal diperolehi seperti dapat menjana pendapatan sampingan, meluaskan jaringan kenalan, meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan skil pengurusan masa serta terdedah dengan pengalaman yang berkualiti. Oleh itu, adalah disarankan buat mereka yang mahu ataupun telah menceburkan diri dengan perniagaan kecil-kecilan semasa belajar untuk bijak menguruskan masa dengan sebaik mungkin agar tidak ketinggalan pembelajaran di universiti. Berikut dikongsikan tip-tip yang boleh diamalkan bagi menyeimbangkan antara berniaga dan belajar:
1. PILIH PERNIAGAAN YANG SESUAI
Pilih perniagaan yang mudah, sesuai, fleksibel serta tidak terlalu menuntut banyak komitmen dari anda. Sebagai contoh, bagi mahasiswa/wi yang masih baru dengan dunia perniagaan, boleh memulakan perniagaan yang tidak memerlukan sebarang pengeluaran kos untuk modal seperti menjadi ejen dropship bagi sesuatu produk. Selain itu, anda juga boleh memulakan perniagaan dengan menjual produk yang senang dijual kepada target pelanggan seperti kerepek, kek atau menyediakan perkhidmatan cetakan. Pengiklanan produk juga boleh dibuat menggunakan saluran media sosial peribadi seperti Instagram, Facebook atau TikTok.
2. TETAPKAN JADUAL BELAJAR DAN BERNIAGA
Jadual merupakan salah satu elemen yang penting bagi membantu pengurusan masa yang optimum. Dengan adanya jadual dapat membantu individu untuk lebih teratur serta dapat membezakan yang mana lebih utama dan tidak utama. Bahagikan jadual waktu untuk anda fokus pada pelajaran dan waktu yang sesuai untuk anda fokus pada perniagaan. Tetapkan masa yang sesuai untuk anda membuat dan menyunting kandungan bahan promosi di media sosial serta waktu yang sesuai untuk anda melayani pelanggan.
3. 1 JAM UNTUK “MARKETING”
Peruntukkan waktu untuk anda fokus kepada penyediaan bahan pemasaran seperti content yang sesuai, sasaran pelanggan dan medium yang relevan untuk hebahan. Anda boleh menggunakan masa satu jam di awal pagi ataupun satu jam pada waktu malam setelah selesai semua urusan harian sebagai seorang pelajar. Pemasaran produk adalah penting bagi menonjolkan kewujudan produk kita kepada pelanggan. Kebiasaannya, bahan yang selalu digunakan oleh pelajar untuk hebahan produk adalah seperti copywriting, poster dan video.
4. BUAT IKUT KEMAMPUAN
Jangan terlalu memaksa diri untuk melakukan sesuatu di luar kemampuan anda. Ingat kesihatan teramatlah penting bagi seorang pelajar. Amalkan pemakanan yang seimbang serta pastikan anda memperoleh tidur yang mencukupi bagi membantu mengekalkan kesihatan di tahap yang terbaik supaya tidak mengganggu pelajaran dan perniagaan.
Kesimpulannya, berniaga sambil belajar bukanlah suatu perkara yang merugikan bagi mahasiswa/wi. Bahkan, berniaga boleh membantu membuka pengalaman dan peluang baharu untuk pelajar meneroka perniagaan yang lebih luas pada masa hadapan. Melalui berniaga secara sambilan juga dapat membantu pelajar membiasakan diri dengan situasi pekerjaan yang sebenar. Walau bagaimanapun, mengutamakan pembelajaran adalah hal yang terpenting kerana menuntut ilmu merupakan matlamat utama bagi seorang mahasiswa/wi. Apa yang penting, jangan ambil remeh aspek pengurusan masa jika anda benar-benar berminat dengan perniagaan sambilan. Pastikan anda tidak tergolong dalam kalangan mereka yang “dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran”.
Comments