top of page

[Jom Fit] ATASI GEJALA KECELARUAN KERESAHAN


Ramai dalam kalangan pelajar sama ada sedar mahupun tidak berdepan dengan gejala kecelaruan keresahan atau ‘anxiety disorder’ disebabkan oleh rasa takut, resah dan bimbang yang terlampau tanpa sebab yang khusus. 


Ini kerana, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi mendapati sekitar hampir 40 peratus remaja di negara ini terdedah kepada gejala tersebut dan ia semakin meningkat saban tahun. Jika tidak ditangani, seseorang itu boleh menghidap penyakit atau mengalami masalah kesihatan mental.


Sekiranya mempunyai simptom seperti gementar dan gelisah secara tiba-tiba, degupan jantung dan bernafas dengan laju, berpeluh, menggigil, mudah rasa penat atau lemah, hilang fokus dan sukar berfikir serta sukar untuk tidur, bahkan berhadapan serangan panik, segera dapatkan khidmat nasihat kesihatan. 



Boleh jadi, jika tidak dibendung dan diatasi, ia mampu membawa kepada masalah lebih serius seperti kesihatan mental yang teruk. Bagaimanapun, terdapat tips dan cara yang dapat membantu mengatasi kecelaruan keresahan ini. 


  1. Bernafas secara dalam 

Jika merasakan diri menunjukkan tanda-tanda akan mengalami masalah kecelaruan keresahan, segera menarik nafas secara dalam dan menghembuskannya dengan perlahan. Lakukan teknik ini sehingga perasaan takut atau gelisah yang dialami, reda.


  1. Elak minuman dan makanan berkafein

Jangan minum atau makan seperti kopi, coklat atau coke ketika berdepan dengan serangan ini kerana dikhuatiri akan menyebabkan keresahan yang lebih teruk. Ini kerana, kafein memberikan kejutan pada sistem saraf yang dapat meningkatkan tenaga.


  1. Cuba atasi perasaan takut

Jangan mengelak daripada berhadapan dengan perasaan takut, sebaliknya kawal diri bagi mengurangkan keresahan yang dialami. Berhadapan situasi dengan tenang dan dedahkan diri kepada ketakutan adalah terapi untuk mengatasi keresahan. 


  1. Lawan gerak hati

Menurut Dr David Carbonell, cara untuk mengatasi kecelaruan keresahan adalah dengan bertindak melawan gerak hati. Sebagai contoh, jika sukar bernafas ketika serangan panik, lakukan teknik menghembus nafas dengan tenang berulang kali dan cubalah bernafas dengan perut berbanding dada.


  1. Rutin senaman ringan

Kerap melakukan senaman seperti bersiar-siar, berjoging atau aktiviti luar yang boleh mengelakkan minda daripada berfikir perkara atau hal-hal yang boleh menimbulkan keresahan. Malah, senaman ringan boleh meningkatkan penghasilan endorfin dan serotonin yang dapat membuatkan emosi berasa lebih baik dan tenang. 



Walaupun masalah kecelaruan keresahan sukar untuk dirawat secara fizik, namun, ia masih boleh dikawal. Malah, mengikuti kaunseling adalah cara yang disarankan bagi mengurangkan bebanan di minda selain mendapatkan rawatan psikoterapi.     


127 views0 comments

Comments


bottom of page