Tidak cukup dengan sekadar menjadi pemandu e-hailing atau p-hailing memandangkan industri itu mempunyai persaingan dan pasang surutnya bergantung kepada keadaan ekonomi dan situasi semasa. Namun, tidak mustahil untuk pekerja ekonomi gig memajukan diri bagi melangkah ke hadapan tanpa bergantung harap sepenuhnya kepada industri terbabit.
Cuba meneroka bidang lain yang mampu menjamin masa depan yang lebih cerah dan mampu memberi kelebihan kepada diri agar dilihat berkeupayaan dalam meningkatkan kemampuan, dengan menjadikan pendidikan lanjutan sebagai nilai tambah untuk kebolehpasaran diri.
Jangan terlalu selesa dengan apa yang dikecapi, sebaliknya, cari ruang dan peluang untuk memotivasikan diri agar sentiasa ke depan dan berupaya menyaingi orang lain. Memang ramai yang sudah selesa dengan apa yang dilakukan kerana menganggap ia berbaloi dari segi pendapatan dan pengurusan masa.
Namun, sampai bila harus berada di posisi sama? Tidakkah terfikir mengenai kehidupan masa depan yang lebih cerah? Tambahan pula, pekerja ekonomi gig di negara ini tidak didefinisikan sebagai pekerja seperti yang dinyatakan di bawah Akta 265, Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).
Ini kerana, pekerjaan itu tidak tertakluk di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2020. Peluang kepada penggiat industri ini untuk memajukan diri bagi meningkatkan modal insan dengan masa yang fleksibel tanpa menjejaskan sumber pendapatan, sangat luas.
Mungkin ramai yang berfikiran melanjutkan pelajaran perlukan masa dan modal yang perlu dikorbankan, menyebabkan hasrat itu terpaksa dilepaskan. Hakikatnya, masih ada medium untuk golongan bekerja melanjutkan pelajaran tanpa perlu menggadaikan sumber pendapatan.
Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya menjadi platform untuk pemain industri ini meningkatkan tahap pendidikan, di samping menjadikan kelulusan yang bakal diperoleh kelak sebagai nilai tambah untuk meneroka bidang pekerjaan yang lebih stabil dan menjamin masa depan.
Jangan skeptikal dengan momokan bahawa menyambung pelajaran memerlukan modal yang besar dan tidak sesuai untuk golongan berusia atau yang sudah bekerjaya. Sebaliknya, jadikan matlamat mencari ilmu untuk memajukan diri dan menukar posisi sedia ada ke tahap yang lebih baik.
Pelbagai program yang ditawarkan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya untuk golongan yang bekerja merangkumi diploma eksekutif dan sijil profesional bagi memantapkan tahap pendidikan graduan dengan silibus yang mendapat pengiktirafan MQA.
Jadikan hujung minggu atau masa senggang terisi dengan pembelajaran yang fleksibel demi masa depan lebih cerah, tanpa perlu mengikuti kelas bersemuka sepenuh masa. Lebih penting, tidak perlu mengabaikan sumber pendapatan mahupun masa bersama keluarga.
Comentários