top of page

[Warta Terkini UM] PENSYARAH PUSAT PENDIDIKAN BERTERUSAN UM MENANG EMAS BAGI PROJEK BERIMPAK TINGGI

Updated: Nov 20, 2023



CYBERJAYA, 2 November 2023 – Pensyarah Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, Hemavathi Gunasegaran, baru-baru ini mencapai kejayaan gemilang dalam Pertandingan Poster Penyelidikan dan Inovasi di Persidangan Suri Rumah Kebangsaan. Persidangan anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Persatuan Suri Rumah Malaysia ini diadakan pada 28 Oktober lalu telah disertai oleh golongan penulis, pensyarah dan penyelidik dari pelbagai latar belakang.


Hemavathi Gunasegaran telah meraih pingat emas kategori Projek Berimpak Tinggi bagi projek penyelidikan beliau bertajuk "Pemerkasaan Suri Rumah Melalui Perniagaan Berasaskan Rumah" (Empowering Housewives Through Home-Based Entrepreneurship). Kejayaan ini merupakan pengiktirafan penting atas fokus beliau yang mendalam terhadap pemerkasaan golongan suri rumah di Malaysia.



“Projek ini bersumber dari kesedaran akan perlunya memperkasakan golongan suri rumah. Golongan ini seringkali diabaikan dalam perkembangan ekonomi negara, walhal mereka turut merupakan tonggak dalam mengekalkan kestabilan keluarga dan masyarakat. Keadaan ini memerlukan tindakan yang lebih proaktif daripada segi pemerkasaan dan pendidikan buat mereka.


“Saya telah memusatkan perhatian kepada segmen yang kurang terwakili ini. Ini juga merupakan satu bahagian penting daripada tesis penyelidikan Ph.D. saya, dan itulah sebabnya saya telah memperluas penyelidikan ini dalam konteks yang lebih besar. Ini bukan sahaja akan meningkatkan taraf hidup mereka, tetapi juga memberi sumbangan kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.


Beliau yang ditemubual menerusi talian maya menzahirkan harapan besar untuk pertumbuhan projek dengan mendedahkan projek kepada lebih banyak komuniti suri rumah di seluruh Malaysia melalui kesaksamaan dan keadilan terhadap akses perniagaan.


Beliau turut mengalu-alukan penglibatan dari pelbagai pihak berkepentingan untuk menyokong pembiayaan projek bagi manfaat perkembangan ekonomi Malaysia.


136 views0 comments

Comments


bottom of page