Hari ini, media sosial bukan sahaja digunakan sebagai medium hiburan tetapi juga sebagai platform untuk menghasilkan pendapatan tambahan. Peluang ini kemudian menarik minat ramai golongan muda kerana bukan sahaja berpeluang untuk mempunyai pendapatan sendiri untuk kelangsungan hidup bahkan juga berpeluang untuk dikenali ramai. Siapa yang tidak mahu mengambil peluang untuk terkenal, bukan? Peluang ini menyebabkan bilangan selebriti media sosial semakin meningkat.
Setiap perkara ada sisi baik dan buruknya. Begitu juga dengan pembawaan watak golongan ini, ada yang membawa pengaruh positif, ada juga yang membawa pengaruh negatif. Segelintir selebriti media sosial tempatan hari ini sanggup memaparkan tingkah laku yang menjengkelkan dan menyinggung perasaan banyak pihak demi mendapatkan perhatian. Yang penting viral. Namun masih ramai juga selebriti media sosial atau pempengaruh yang menggunakan platform ini sebaik-baiknya sehingga boleh memberi inspirasi kepada orang ramai.
Lazimnya, apabila seseorang berjaya mencipta nama melalui satu platform media sosial, individu tersebut juga boleh meneroka peluang dalam bidang lain. Sebagai contoh, selebriti media sosial Khairul Aming mula menarik minat ramai melalui perkongsian resepi di Instagram. Video-video yang dimuat naik ini kemudian berjaya menarik pengikut alam maya sehingga membuka peluang perniagaan pada beliau sehingga hari ini. Perkembangan positif begini wajar untuk dijadikan sebagai contoh kepada golongan muda.
Sumber: Instagram @khairulaming
Namun begitu, dalam keghairahan menjana pendapatan disamping membina populariti di media sosial, ramai yang terleka dan mengabaikan etika penggunaan media sosial. Bukan itu sahaja, ada juga yang sanggup melanggar norma dan budaya masyarakat timur sehingga menjatuhkan martabat individu itu sendiri. Misalnya, kandungan berbentuk prank yang terkenal dalam dunia hiburan barat. Sebenarnya, kandungan tersebut tidak menyalahi norma masyarakat sekiranya dilakukan dalam keadaan yang bersederhana dan tidak keterlaluan.
Prank atau usikan nakal bukanlah perkara asing dalam masyarakat kita, jika diingat kembali pasti anda mempunyai pengalaman "mandi" tepung ketika menyambut hari lahir di sekolah. Dahulu, usikan hanya bersifat fizikal berbeza dengan usikan yang terdapat di media sosial hari ini yang banyak menyinggung emosi. Besar kemungkinan perkara ini terjadi disebabkan ketandusan idea dalam mengeluarkan kandungan berkualiti untuk menarik minat orang ramai sehingga sanggup menggunakan taktik murahan.
Sebenarnya, tiada halangan untuk seseorang mencipta nama dan populariti di media sosial tetapi haruslah menjaga batas. Jangan disebabkan ingin meraih populariti dan menjana kewangan untuk kelangsungan hidup, sanggup melakukan perkara di luar norma masyarakat. Kepada anda yang sedang merancang untuk menjadi salah seorang selebriti media sosial, rancang dan teliti kandungan anda sebaik-baiknya. Jadi inspirasi terbaik kepada orang di sekeliling anda. Selamat maju jaya!
Comments