top of page

[Story Time] JADILAH ASET BERGUNA KEPADA MASYARAKAT DENGAN ILMU


Masyarakat berilmu bukan sekadar mempunyai pendidikan dan pengetahuan dalam sesuatu bidang, sebaliknya seseorang yang mampu memberi sumbangan kepada komuniti demi kelangsungan atau kemantapan sesebuah organisasi. Ini kerana, keperluan insan yang dapat memberi manfaat kepada kelompoknya akan menyumbang kepada pertumbuhan modal insan yang positif bagi meningkatkan keupayaan sesebuah masyarakat. 


Individu yang dapat menyemai benih ilmu yang dimiliki untuk ditambah kepada masyarakat terutama generasi penyambung legasi sesebuah komuniti, bukan sahaja akan mengangkat sosial kehidupan masyarakat, sebaliknya menjadikan organisasi itu dipandang tinggi dan dihormati. Kredibiliti itu yang perlu dimiliki setiap individu terutama golongan pelajar bagi membangunkan masyarakat yang berdaya saing dan berketerampilan. 



Sebagai contoh, graduan perniagaan yang membangunkan akses untuk masyarakat memiliki ilmu pengetahuan mengenai perniagaan, agar komuniti itu berupaya membabitkan diri dalam bidang tersebut, bukan sekadar memberi pendedahan mengenai ilmu perniagaan, sebaliknya turut merubah sosial kehidupan masyarakatnya. 


Kepakaran dan kelebihan yang dimiliki sedemikian usah dijadikan sekadar catatan di atas selembar kertas, sebaliknya digunakan sebagai aset berguna kepada masyarakat demi membangunkan sesebuah komuniti, yang turut sama mendapat tempias manfaat daripada kebolehan yang dimiliki.   


BENTUK DIRI JADI INSAN BERHARGA



Sekadar berjaya atas tiket peribadi dan hanya melakar momentum untuk kehidupan sendiri dan keluarga, bukanlah suatu pencapaian yang bermakna tanpa sumbangan kepada komuniti. Biarlah dilihat selekeh pada luaran, tetapi berharga umpama permata di mata masyarakat. 


Mengambil inspirasi daripada seorang penternak muda, Ridzuan Khalid yang tular di media sosial dengan gelaran ‘Sir Ladang’ kerana menternak lembu, menarik minat masyarakat terutama golongan belia untuk mengikuti jejak langkah beliau yang juga seorang pensyarah bagi menceburi bidang penternakan. 


Kelebihan itu yang menjadi pemangkin kepada masyarakat untuk menginspirasikannya dalam bidang yang bukan pilihan golongan muda. Ilmu yang dimiliki menjadi pencetus kepada komuniti bagi menggerakkan masyarakat agar berdaya saing dan berpotensi mengembangkan kebolehan serta bakat yang ada dalam diri. 


Ramai graduan yang berkebolehan dan berbakat menyembunyikan kelebihan diri kerana tidak berani menonjolkan keupayaan diri disebabkan takut tidak diterima masyarakat. Hakikatnya, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat hasilnya dan pendekatan itu yang digunakan Ridzuan dalam mengembangkan kebolehan diri untuk dikongsi dengan masyarakat. 


Siapa sangka, daripada insan yang tidak mempunyai apa-apa dan tidak dikenali, kini diri dan bakat yang tersimpan melakar pencapaian peribadi untuk menjadi inspirasi kepada masyarakat. Kembangkan ilmu yang diraih untuk manfaat bersama, bukan disimpan menjadi sawang yang tidak berharga. 


26 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page