Kebiasaannya, apabila berdepan dengan sesuatu perkara yang merungsingkan atau masalah yang sukar untuk diselesaikan, pasti kita berasa seperti ada bebanan di kepala sehingga menimbulkan perasaan marah, sensitif dan sakit di bahagian belakang tengkuk dan kepala. Tanda-tanda yang menjurus kepada tekanan itu bukan sahaja membuatkan fikiran menjadi bercelaru, tetapi, turut mengganggu sistem dalaman tubuh.
Ramai yang mengambil mudah apabila berdepan dengan situasi ini sehingga ada yang kerap menjadikan ubat tahan sakit atau panadol sebagai teman tatkala menghadapi masalah, bebanan tugas dan kecelaruan fikiran. Mungkin nampak mudah bagi mengatasi tekanan atau ‘stress’, tetapi, kesannya akan menjejaskan tubuh yang akan terdedah kepada gejala lebih kronik.
Simptom seperti sembelit, tonsil, kerap sakit kepala dan sukar bernafas antara tanda-tanda tekanan yang mungkin akan mengganggu sistem ketahanan tubuh jika tidak dibendung. Perubahan fizik ini jika dibiarkan berlarutan tanpa pengawalan diri, akan menjadi lebih parah dan boleh mengakibatkan pelbagai penyakit.
TEKANAN MELEMAHKAN SISTEM TUBUH
Menurut Dr. Fadhli Rizal Makarim, pakar perubatan umum Universiti Islam Sultan Agung, Indonesia, semua orang akan mengalami tekanan termasuk kanak-kanak, namun, bagaimana mengatasi tekanan, bergantung kepada cara individu itu mengawalnya. Ini kerana, tekanan ada yang bersifat sementara, tetapi, ada kondisi di mana ia mampu menyerang kesihatan tubuh, serta melumpuhkan sistem daya tahan diri sehingga menjadi lemah.
Jika dibiarkan dan membiasakan diri dengan tekanan, ia mampu menjadikan seseorang itu sering lupa, hilang fokus, selalu berfikiran negatif, sehingga ada yang mengambil keputusan negatif sebagai jalan penyelesaian. Jelasnya, situasi itu akan menjerumuskan seseorang kepada kurang selera makan, sering berasa gugup, melepaskan tanggungjawab dan menyendiri.
Bagaimanapun, ada cara untuk mengelakkan diri daripada terjerumus kepada tekanan antaranya, meluahkan masalah dengan orang yang rapat dan memahami kita. Berkongsi masalah bukanlah suatu tindakan membuka aib sendiri, sebaliknya, mampu membuatkan fikiran barasa tenang dan bebanan yang dihadapi berkurangan. Bahkan, sedikit sebanyak membantu merungkai kekusutan diri.
ELAKKAN PERKARA NEGATIF
Mengamalkan mandi awal pagi atau sebelum waktu subuh adalah terapi diri yang baik bagi melancarkan peredaran darah dalam tubuh, disamping menyegarkan diri serta minda. Sering menjadikan aktiviti bersenam atau bersukan sebagai rutin, antara langkah bagi mengawal minda serta menstabilkan pemikiran agar tidak berfikiran negatif.
Amalan membaca dan meluangkan masa untuk diri sendiri antara langkah terapi diri yang dapat menaturalkan sistem tubuh supaya tidak terdedah dengan anasir-anasir yang boleh mengusutkan fikiran, seperti terjebak dalam gosip atau aktiviti mengumpat. Sebaliknya, jadikanlah kawan yang positif sebagai peneman bagi mengelakkan diri daripada memikirkan kehidupan negatif orang lain.
Commentaires