top of page

[Story Time] PENGARUH MEDIA SOSIAL MAMPU MENJERAT PELAJAR


Keterbukaan dalam membuka pekung di media sosial seakan amalan yang semakin menjadi ikutan untuk meluahkan rasa amarah, berkongsi kisah peribadi dan permasalahan yang boleh mengundang pelbagai anasir negatif. Bukan sahaja kepada pemilik akaun media sosial itu sendiri, sebaliknya turut terkait kepada netizen yang melihat tindakan sedemikian sebagai satu budaya baharu alam maya. 


Umum mengetahui, kebanyakan pengguna media sosial adalah dalam kalangan belia dan golongan remaja merupakan pengguna paling ramai di Malaysia. Sedar atau tidak, setiap kandungan  yang dimuat naik ke media sosial mampu mempengaruhi golongan ini yang mudah terinspirasi dan mengimplementasikan setiap tindakan yang dipaparkan. 



Budaya mencemuh, melepaskan kemarahan dan membuka kisah kehidupan peribadi di media sosial adalah satu tindakan tidak bermoral yang ada dalam diri setiap manusia. Nafsu yang menyelubungi diri bukan sahaja akan melontarkan tindakan luar jangka, sebaliknya mampu memberi tanggapan negatif kepada umum terhadap diri seseorang. 


Amalan berkongsi kisah kehidupan sebagai paparan netizen mungkin dilihat indah oleh pemilik akaun, namun, harus berhati-hati kerana setiap apa yang dikongsikan boleh memakan diri sendiri. Banyak kisah yang kita dengar mengenai kejadian malang yang menimpa pemilik akaun media sosial, bukan sekadar menjadi bahan serangan netizen, tetapi turut menjadi mangsa tidak bermoral. 


Kes jenayah siber yang mensasarkan golongan belia terutama wanita paling ramai direkodkan melibatkan kerugian wang ringgit serta jenayah seksual alam maya. Dimalukan di media sosial dengan paparan photoshop dan jerat percintaan antara jenayah yang sering kita dengar. Golongan pelajar antara yang mudah terpedaya dan terpengaruh dengan tipu daya media sosial sehingga ada yang sanggup menggadaikan maruah. 


Gara-gara terlalu terbuka berkongsi kisah peribadi melalui perkongsian gambar dan ayat-ayat yang boleh mengundang perhatian penjenayah siber, golongan ini mudah menjadi sasaran. Berpada-pada dalam menceritakan kisah kehidupan anda kerana takut ada yang mengambil kesempatan untuk melakukan perkara-perkara yang boleh mengaibkan diri anda. 



Elakkan daripada melayangkan komentar-komentar berbaur negatif yang boleh mengguris perasaan orang lain terutama pemilik akaun. Ini kerana terdapat kes di mana ada netizen yang disaman, diugut dan tidak kurang juga ada yang terkena ilmu halus. 


Sentiasalah berwaspada dalam memuat naik sesuatu kandungan di media sosial mahupun memberikan sebarang komen terutama yang melibatkan isu perkauman dan agama yang boleh memecahbelahkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.  

 

Jadilah pengguna media sosial yang berhemah dan sentiasa menitikberatkan soal sensitiviti orang lain demi kemaslahatan bersama. Meskipun media sosial ibarat diari yang menyimpan segala memori dan kenangan, namun jangan sesekali dibiarkan menjadi medan untuk bertelagah dan tempat tercetusnya jenayah. 


61 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page