Jika dahulu, lepasan SPM berebut-rebut mendapatkan borang UPU bagi memohon kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam. Bahkan, borang kemasukan ke maktab perguruan juga laris ibarat ‘pisang goreng panas’. Namun, peredaran zaman membawa perubahan kepada teknologi masa kini, begitu juga dengan mentaliti golongan lepasan SPM yang memikirkan keperluan untuk menyambung pelajaran.
Mana tidaknya, selepas selesai SPM rata-rata memilih untuk bekerja sambilan sementara menunggu keputusan. Akibatnya, ramai yang memilih untuk terus bekerja selepas mampu menggenggam hasil titik peluh sendiri dan mengenepikan perjuangan untuk sambung pelajaran, meskipun memiliki keputusan memberangsangkan.
Faktor kesempitan keluarga bukan lagi alasan untuk tidak menyambung pelajaran, sebaliknya, selesa dengan apa yang dikecapi dengan pendapatan daripada usaha keras sendiri. Tetapi, sampai bila harus berasa selesa dengan rezeki yang tidak seberapa, jika dibandingkan dengan hasil yang bakal dituai selepas tamat pengajian tinggi?
Mungkin rata-rata tidak nampak rezeki yang bakal dikecapi di kemudian hari, kerana memikirkan masa bertahun yang perlu dihabiskan di kelas bagi memecah keringat memfokuskan kepada pelajaran. Hakikatnya, jika sudah mampu menggenggam pendapatan sendiri di usia muda, mana mungkin memikirkan soal masa depan.
Malah, dengan persaingan di pasaran pekerjaan menyulitkan lagi fikiran untuk membuat keputusan jurusan apa yang perlu dipilih bagi meletakkan diri betul-betul selesa selepas tamat pengajian kelak. Fahami kehendak diri dan selidiki latar belakang pengkhususan yang ingin dipilih, adakah menepati kriteria serta mempunyai peluang yang cerah di alam pekerjaan?
Belajarlah kerana keperluan masa depan, bukan kerana memenuhi kehendak keluarga mahupun mengikuti pilihan rakan sebaya. Bijaklah membuat keputusan demi kelangsungan hidup yang lebih bermakna, bukan terpaksa mengikat perut di kemudian hari akibat sumber pendapatan yang diperoleh tidak seberapa.
Tidak salah jika ingin mengutip pengalaman bekerja, namun jangan sampai berlarutan sehingga mengabaikan keperluan di usia muda, yang sepatutnya dicurahkan sepenuh perhatian demi memiliki pencapaian yang lebih bermakna. Usah terikut godaan nikmat dunia walaupun mampu memiliki apa yang diinginkan dengan pendapatan sendiri, kerana kenikmatan yang dikecapi tidak selamanya indah.
Andai masih berkeras untuk terus bekerja, tidak ada salahnya. Tetapi, sulami pengalaman bekerja yang dimiliki dengan pendidikan lanjutan bagi memperkukuhkan lagi kedudukan dalam organisasi, agar tidak diperlekehkan dengan jawatan sama selamanya. Menambah ilmu dan kemahiran sedia ada berupaya menjadikan individu itu bukan sekadar berubah posisi jawatan, sebaliknya, mampu mengorak langkah ke peringkat lebih tinggi.
Penekanan itu diterapkan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya untuk menjadi medan Pembelajaran Sepanjang Hayat tanpa mengira usia dan kedudukan. Proses pembelajaran bukan sekadar apa yang sudah dimiliki, tetapi, terus menggali mencari ilmu baharu untuk disesuaikan dengan kehidupan. Ini kerana, perkembangan ilmu sentiasa berubah dan akan wujud pembaharuan mengikut kemajuan semasa.
Lihat sahaja perkembangan teknologi masa kini, siapa sangka bidang digital mengambil alih dunia kini. Disebabkan itu, institusi pengajian tinggi bersaing menawarkan program yang mengikut spesifikasi keperluan pasaran dalam teknologi digital.
Seiring dengan perubahan corak keperluan dunia, Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya turut menitik beratkan teknologi terkini dalam pembelajaran untuk mendedahkan pelajar kepada peri pentingnya pembelajaran secara digital. Ini kerana, setiap graduannya akan mampu menempatkan diri dalam pasaran kerjaya berdasarkan pengalaman dan penerapan teknologi yang diperoleh.
Apapun, ‘tepuk dada tanya selera’ ke mana arah tuju masa depan kita, kerana kitalah yang akan mencorakkan kehidupan sendiri. Jangan dibiarkan usia muda terlalu selesa dengan rezeki yang diperoleh, namun, tidak pula diabaikan pengalaman kerja untuk dijadikan batu loncatan agar mampu terbang lebih tinggi.
Comentários