Isu pendidikan percuma bukanlah asing kerana sering kali dicanang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Meskipun hasrat itu dilihat sukar untuk direalisasikan, namun, kemampuan memperkenalkan dasar pendidikan percuma daripada awal persekolahan sehingga peringkat pengajian tinggi perlukan penelitian dan kajian terperinci.
Hakikatnya, isu itu menjadi perhatian golongan belia yang mengharapkan ada mekanisme yang akan diperkenalkan kerajaan dalam melahirkan lebih ramai rakyat berpendidikan sehingga ke menara gading bagi meningkatkan modal insan negara.
Namun, sejauh mana pendekatan pendidikan percuma ini mampu melahirkan rakyat yang berilmu dan berkelulusan tinggi, jika minat dan dorongan golongan muda untuk meningkatkan taraf pendidikan dilihat menurun.
Apatah lagi dengan situasi ekonomi yang kian menekan, menjadi asbab kepada golongan belia ‘mematikan’ hasrat untuk meningkatkan taraf pendidikan. Tetapi, itu bukanlah alasan untuk golongan ini mengenepikan taraf pendidikan kerana peluang yang ditawarkan kepada individu bekerjaya sangat luas.
Pengajian jarak jauh, pengajian luar kampus dan pengajian pendidikan berterusan menjadi platform untuk golongan bekerjaya menyambung pengajian. Peluang yang tersedia itu menjadi pemangkin kepada golongan ini untuk melangkah ke arah kerjaya yang lebih baik.
Bekerja sambil belajar sudah menjadi trend kini yang dilihat mampu membuka lebih ruang dan peluang kepada golongan belia yang hanya sekadar memiliki kelulusan menengah meningkatkan kualiti pendidikan ke peringkat lebih tinggi tanpa meninggalkan kerjaya hakiki.
Jika dilihat dari sudut positif, pendekatan pendidikan berterusan sebegini memberi nilai tambah kepada golongan bekerjaya untuk memperoleh kelulusan lebih tinggi dengan peluang kerjaya yang lebih luas. Tidak terikat dengan komitmen kelas secara fizikal dan mampu mengatur masa belajar sendiri, antara kelebihan yang diberikan kepada individu bekerjaya.
Oleh itu, tanpa pendidikan percuma juga mampu menjadikan seseorang yang bekerjaya menggapai kelulusan lebih tinggi seiring dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan insan berpendidikan dan berkemahiran.
Jangan dipatahkan impian untuk menggapai segulung kelulusan disebabkan oleh limitasi dalam mendapatkan pendidikan gara-gara kekangan yang dicipta sendiri. Sebaliknya, ciptalah pencapaian dengan impian yang di semat untuk dipandang sebagai individu yang berpendidikan dan berintelektual.
Sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan pendidikan negara bertaraf global, molek kiranya hasrat itu dijadikan asas kepada golongan belia negara untuk memiliki taraf pendidikan yang tinggi. Bukan sesuatu yang mudah untuk diraih tanpa adanya minat dan usaha bagi meletakkan diri ke arah yang lebih baik.
Comments