Berkebolehan bertutur dan menulis dalam Bahasa Inggeris selain bahasa kebangsaan bukanlah sesuatu yang asing, memandangkan ramai di kalangan rakyat negara ini mampu menguasainya, sehinggakan Malaysia diletakkan sebagai negara ketiga di Asia paling fasih berbahasa Inggeris.
Namun, itu bukanlah satu kelebihan untuk menempatkan diri dalam alam pekerjaan, memandangkan cabaran masa kini yang semakin melebar menyebabkan penguasaan bahasa asing menjadi satu kelebihan untuk diri diterima dalam sektor pekerjaan, apatah lagi dalam syarikat gergasi luar negara.
Jika dahulu, Bahasa Inggeris dianggap satu keperluan dalam sektor pekerjaan meskipun sekadar berjawatan kerani pejabat, tetapi kini penguasaan bahasa ketiga menjadi satu kelebihan dan rata-rata syarikat di negara ini sudah menjadikan penguasaan bahasa asing sebagai kriteria dalam penawaran pekerjaan.
Bahkan, individu yang mampu menguasai bahasa selain bahasa ibunda mereka dianggap bonus untuk ditawarkan tempat dalam pekerjaan. Sebagai contoh, individu berbangsa Melayu yang fasih bertutur dan menulis dalam Bahasa Mandarin menjadi kelebihan berbanding individu berbangsa Cina.
Penguasaan Bahasa Mandarin paling banyak ditawarkan tempat di kebanyakan syarikat di negara ini memandangkan Bahasa Mandarin merupakan bahasa paling banyak digunakan di dunia. Oleh yang demikian, persediaan dalam menguasai bahasa ketiga perlu diberikan perhatian bakal graduan sebagai nilai tambah untuk menentukan tempat di alam pekerjaan kelak.
Selain Bahasa Mandarin, penguasaan Bahasa Perancis, Arab dan Jepun sudah mula diintai para majikan memandangkan bahasa terbabit paling banyak yang diselitkan sebagai kriteria, terutama dalam sektor industri kreatif dan pemasaran. Hakikatnya, sekadar mempunyai kelulusan tinggi tanpa ada kelayakan sokongan belum cukup kuat untuk diberikan kelebihan untuk ditawarkan tempat.
Ini kerana, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, penguasaan bahasa asing menjadi kelebihan yang perlu ada pada pelajar dalam dunia serba mencabar kini. Hal ini demikian kerana kelayakan akademik semata-mata tidak menjanjikan graduan berupaya mendapat peluang pekerjaan, memandangkan kebanyakan masyarakat kita mempunyai kelayakan akademik yang baik.
Jelas beliau, graduan yang menguasai lebih daripada tiga bahasa pastinya akan menjadi dambaan majikan kerana golongan ini akan memberi kelebihan buat organisasi terbabit, terutama dalam syarikat antarabangsa, multinasional atau bekerja di luar negara.
Disebabkan itu, Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya menitikberatkan penguasaan bahasa asing sebagai nilai tambah terutama kepada bakal graduannya serta individu bekerjaya untuk menguasai bahasa ketiga, dengan penyediaan kursus Bahasa Arab dan Mandarin, selain Bahasa Inggeris.
Program yang dirangka mengikut kesesuaian semasa disamping mendedahkan peserta mengenai keupayaan menguasai bahasa ketiga dalam pasaran pekerjaan, bukan sekadar menjadi pemangkin untuk memajukan diri, tetapi, membuka ruang kepada peserta untuk berkomunikasi dengan baik.
Opmerkingen