top of page

[#StoryTime] Pasca SPM: Sambung Belajar atau Kerja?


Graduan lepasan SPM sering berhadapan dengan dilema sama ada hendak menyambung pelajaran ke peringkat STPM, Diploma atau terus bekerja. Sebenarnya, dalam realiti kehidupan hari ini kedua-dua pilihan mempunyai kelebihan dan kelemahan, masing-masing bergantung pada keadaan semasa graduan berkenaan. Berikut saranan dari kami yang anda boleh pertimbangkan.


Menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya

Jika anda tidak mempunyai kekangan dari segi status kewangan keluarga, sudah merancang perjalanan pendidikan lanjutan dan mempunyai keputusan SPM yang bagus, adalah lebih baik untuk anda melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.

Menariknya pilihan ini, anda boleh mencabar diri dalam pengurusan kendiri yang baik dengan menyahut cabaran untuk keluar dari zon selesa dan cuba untuk berdikari. Lebih-lebih lagi apabila anda mendapat tawaran di kampus atau pusat matrikulasi yang agak jauh dari keluarga. Kesempatan inilah yang akan membuka peluang kepada anda untuk mengenali lebih ramai kawan-kawan dari latar belakang yang berlainan, belajar pengurusan kewangan dan pengurusan masa.



Untuk anda yang belum bersedia lagi untuk berjauhan daripada keluarga, jangan risau. Masih ada jalan alternatif untuk anda melanjutkan pelajaran. Anda boleh memohon untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di sekolah menengah yang sama atau sekolah menengah berdekatan yang menawarkan kelas Tingkatan 6.


STPM menjadi salah satu pilihan popular untuk lepasan SPM lebih-lebih lagi dengan kelebihan dari segi kos pelajaran yang jauh lebih murah daripada Diploma dan tempoh pengajian yang juga lebih pendek serta sering dikenali sebagai “jalan singkat” untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. Laluan akademik ini juga boleh mengasah kemampuan anda untuk menguruskan masa kerana sukatan pelajaran di peringkat ini banyak berfokus kepada teori lebih-lebih lagi dalam aliran sastera atau kemanusiaan. Ini bermaksud bahan bacaan dan rujukan akan menjadi lebih banyak. Oleh itu, anda perlu bijak dalam membahagikan masa untuk mengulangkaji subjek-subjek yang anda ambil.


Bekerja selepas SPM

Jangan bersedih jika anda belum berkesempatan lagi untuk meneruskan pelajaran ke peringkat seterusnya. Bekerja selepas SPM juga mempunyai banyak kelebihan dalam perkembangan kareer dan kemahiran peribadi. Sebagai contoh, sekiranya anda berminat di dalam bidang keusahawanan, anda boleh mengasah dan membina kemahiran komunikasi serta keyakinan diri di samping belajar mengenai operasi perniagaan.

Bekerja selepas SPM juga memberi peluang untuk anda mendapatkan pengalaman untuk menguruskan perbelanjaan dan kewangan. Melalui pengalaman ini juga, anda boleh menimba pengalaman bekerja lebih awal daripada rakan sebaya. Anda juga berkesempatan untuk membuat persediaan kewangan atau asset lebih awal untuk kegunaan masa hadapan.



Apabila status kewangan anda sudah stabil kelak, anda bolehlah merancang untuk menlanjutkan pelajaran. Hari ini, banyak institusi pendidikan yang membuka peluang untuk golongan lepasan SPM yang tidak berkesempatan menyambung pelajaran. Salah satunya di Universiti Malaya melalui Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed) yang menawarkan Diploma Eksekutif khas untuk golongan bekerja.

53 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page