top of page

[#StoryTime] Penjagaan Kebersihan Diri: Kenapa Saya Perlu Ambil Peduli?

Updated: Nov 8, 2022



Pernah tak anda berada di dalam situasi bersesak-sesak di dalam pengangkutan awam dan terpaksa menghadapi pelbagai bau badan yang kurang menyenangkan. Perkara ini bukanlah baru sehari dua diperkatakan tetapi sudah ramai yang mengutarakan perkara ini baik di siaran televisyen mahupun di media sosial. Benar, bau badan itu terhasil secara semulajadi dan tidak berbau tetapi peluh yang meresap ke baju. Kesannya, baju akan dicemari bakteria yang menyebabkan bau.


Penjagaan kebersihan diri bukanlah hanya boleh memberi keselesaan diri dan orang sekeliling tetapi juga boleh mengelakkan penyebaran virus seperti yang baru melanda dunia baru-baru ini, COVID-19. Berikut beberapa perkara yang perlu diambil perhatian dalam penjagaan diri.


Mandi

Mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari untuk mengekalkan tahap kebersihan diri dan mengelakkan jangkitan kuman. Untuk memastikan badan betul-betul bersih, anda boleh menggunakan span mandi yang lembut. Fokus pada bahagian-bahagian yang mempunyai banyak kelenjar peluh seperti di leher, ketiak, muka, kaki, dan bahagian sulit. Semakin banyak peluh dihasilkan, semakin aktif pembiakan bakteria. Gunakan sabun badan dan sabun pencuci muka yang bersesuaian dengan keadaan kulit untuk mengelakkan terjadinya iritasi kulit. Selepas mandi, gunakan tuala dan pakaian yang bersih. Ingat, jangan berkongsi tuala dengan orang lain!


Menggosok gigi

Cuba perhatikan orang sekeliling anda ketika anda bercakap. Adakah mereka kelihatan seperti menutup hidung atau menggosok-gosok hidung? Jika ya, ini bermaksud anda mempunyai masalah bau mulut yang agak kurang menyenangkan. Untuk masalah ini, kami sarankan anda untuk mengambil langkah tambahan dalam penjagaan mulut. Terapkan langkah penjagaan tambahan seperti flos, ubat kumur, dan membersihkan lidah. Jika perlu, buat temujanji di klinik gigi berdekatan dan buat pemeriksaan gigi secara berkala. Pada masa yang sama, bolehlah dapatkan saranan langkah penjagaan mulut yang baik dan produk yang boleh disarankan.


Deodoran

Gunakan deodoran yang bersesuaian. Banyak jenis deodoran yang tersedia di pasaran hari ini seperti gel, cecair, krim dan semburan. Sekiranya anda individu yang kuat berpeluh, sebaiknya-baiknya cuba untuk elakkan daripada menggunakan deodoran yang mempunyai bau pewangi yang kuat. Anda boleh cuba untuk menggunakan deodoran semulajadi yang mengandungi garam mineral. Lazimnya deodoran yang mengandungi bahan semulajadi bukan sahaja boleh digunakan pada badan tetapi juga pada kaki.


Pakai pakaian yang bersih

Menjaga kebersihan pakaian juga menjadi salah satu aspek penting dalam penjagaan kebersihan diri. Mungkin ada dalam kalangan kita yang memiliki pakaian kegemaran sehingga sanggup memakai pakaian yang sama berulang-ulang kali. Tiada masalah sekiranya anda ingin menggunakan pakaian yang sama asalkan tetapi sebaik-baiknya pakaian yang telah dipakai dicuci terlebih dahulu dan dikeringkan sepenuhnya sebelum dipakai sekali lagi. Jangan lupa untuk menukar stokin setiap hari dan gunakan pewangi kasut. Bukan sahaja untuk mengelakkan timbulnya bau yang kurang menyenangkan, pakaian yang bersih juga boleh mencegah penyebaran penyakit dan virus merbahaya seperti penyakit kulit.


Diharapkan perkongsian ini boleh membantu anda dari segi penampilan dan keyakinan diri. Kongsikan kepada kami di ruangan komen sekiranya anda pernah berada di dalam situasi ini. Bolehlah dijadikan contoh sekaligus sebagai peringatan mesra untuk semua pembaca. Selamat maju jaya!


62 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page